KUALA TERENGGANU 17 Julai -Menteri Besar, Dr. Samsuri Mokhtar menjelaskan beliau memuat naik ‘sentuhan rasanya’ dalam laman facebook semalam berhubung layanan kurang berbudi bahasa ketika isterinya berurusan di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu agar amalan tidak menyenangkan itu dapat diubah.
Beliau berharap ia dapat menjadi suatu peringatan supaya semua pihak terutama penjawat awam di barisan hadapan dalam urusan dengan rakyat memperbaiki budaya kerja sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan tanpa mengira latar belakang.
“Kita menekankan secara berterusan bahawa kaunter perhidmatan umpamanya tidak boleh ‘double standard’, semua pihak termasuk rakyat yang datang dalam compang-camping sekalipun, mereka juga perlu dilayan sama rata sebagai pengguna,”ujarnya.
Beliau menyatakan demikian di sini hari ini ketika diminta mengulas berkenaan isu status yang dimuat naik itu berdasarkan layanan yang disfatkannya sebagai kasar dan sombong terhadap isteri beliau, Tuan Faezah Tuan Ab Rahman ketika berurusan pertukaran sekolah anak mereka.
Status itu yang dimuat naik malam semalam mendapat lebih 2,500 komen dan lebih 2,000 perkongsian sehingga 3 petang ini.
Menurut Dr. Samsuri, beliau telah memesan kepada isterinya supaya pergi berurusan sebagai rakyat biasa dan usah memberitahu bahawa beliau adalah isteri kepada seorang Menteri Besar kerana tentulah akan mendapat layan ‘kelas pertama’.
“Pergi sebagai rakyat biasa dan daripada situ baharulah kita faham dan merasai sendiri susah atau senang, bagus atau tidak sesuatu perkhidmatan berkait konsep mesra pelanggan itu.
“Perkara ini sudah sudah diselesaikan secara baik dan semua pihak berlapang dada, saya juga tidak simpan dalam hati..yang berkenaan juga tidak menyimpan dalam hati, dan kita perlu bergerak ke hadapan.
“Saya percaya mungkin belraku dalam keadaan stress secara tidak sengaja, maklumlah kaunter perkhidmatan berhadapan dengan bermacam-macam ragam orang dan pelbagai latar belakang. Tetapi kita perlu sentiasa menjaga profesional kerana rakyatlah yang menilai prestasi perkhidmatan kerajaan,”kata beliau lagi.
Sehubungan itu juga, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan mengambil tindakan sepatutnya bagi membaik pulih imej dan perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan negeri agar tiada pegawai dan kakitangan yang mengamalkan sikap pilih kasih kepada pelanggan yang datang berurusan.
“Kita lihat negara maju, kalau tuan-tuan ke England, Amerika atau Eropah, mereka boleh panggil kalangan gelandangan sekalipun sebagai `sayang, love, darling ‘..ketika mendapat khidmat, kenapa kita (penjawat awam) tidak boleh melakukan perkara yang sama (suatu sebutan yang menyenangkan) kepada rakyat kita?
“Jadi, inilah antara kaunter servis yang saya menghantar peringatan kepada semua supaya semua perlu ada perubahan `mindset’ dan profesionalisme,”katanya.- UTUSAN ONLINE










