MALAYSIA adalah sebuah negara yang rencam; kaya dengan nilai kebudayaan yang terangkum dalam binaan bangsa Malaysia yang berbeza agama, etnik, kepercayaan, ritual, upacara dan keturunannya. Kemajmukan lahir daripada proses sosialisasi yang berbeza-beza bermula dari rumah sehingga ke pergaulan dengan masyarakat secara umumnya.
Walaupun wujud kepelbagaian merentasi budaya, alat penyatuan yang menjadi dinding perpaduan, kemuafakatan, keharmonian adalah bahasa. Bahasa bukan sekadar menjadi alat komunikasi, pertuturan atau bicara dalam kalangan komuniti atau masyarakat, tetapi bahasa boleh diangkat menjadi teras induk ‘meratakan lantai integrasi yang mencapah’; bahasa pengurusan kehidupan harian.
Bahasa menjadi bahan untuk meredakan ketegangan, meluntur perasaan stereotaip, prasangka, etnosentrik dan sikap membenci atau menafikan kewujudan kelompok yang berbeza dengan diri sendiri. Fitrah manusia dilahirkan untuk saling kenal-mengenali dan bahasa merapatkan hubungan sesama kita sehingga menyuburkan perasaan hormat, faham dan penerimaan antara satu sama lain.
Hatta, Tanah Melayu yang merdeka pada 1957 dan kemudiannya dikenali sebagai Malaysia telah memastikan Perlembagaannya mengangkat kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan. Bahagian XII Perkara 152 Perlembagaan menyatakan bahawa ‘bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.
Perkara yang sama turut diperincikan bahawa ‘tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain dari maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain. Dengan termeterai di dalam Perlembagaan, ini sekali gus mengiktiraf dan memberi penghormatan tertinggi ke atas keluhuran bahasa Melayu bukan hanya sebagai bahasa kebangsaan, malahan ia juga adalah bahasa rasmi.
Isu kedudukan bahasa Melayu bukan baharu di negara ini apatah lagi seringkali dipolitikkan dalam kalangan parti politik mahupun pihak berkepentingan. Menguji keterbukaan ke atas penggunaan bahasa lain berlaku apabila ia dibawa ke kancah pentas politik ataupun diheret dalam persabungan ideologi politik dan akan terhenti sementara apabila wujud desakan berterusan agar tidak melanggar batasan yang diikat dengan perisai Perlembagaan.
Jika wujud sikap endah tidak endah atau ‘tidak apa’, maka keluhuran bahasa Melayu akan terus diperkosa ke atas nilai harga diri bahasa yang wajibnya dipertahankan kedaulatan tanpa perlu diusik kedudukan sebagai bahasa kebangsaan.
Ini berlaku kerana golongan nasionalis bahasa yang seolah-olah tidak ada daya melawan segelintir yang jahil Perlembagaan dan sifar patriotismenya; apatah lagi golongan senyap seolah-olah memberi persetujuan ke atas golongan yang memperlekehkan keagungan bahasa ini walaupun hakikatnya mereka barangkali bersimpati dengan nasionalis bahasa. Penguasaan bahasa lain memberi nilai tambah kepada diri tetapi ketidakupayaan mahir dalam bahasa kebangsaan akan menjadi indikator sejauh mana bahasa Melayu dihormati.
Sikap tidak konsisten ke atas pegangan falsafah bahasa sebenarnya sering menggugat kedaulatan bahasa Melayu ini. Kepelbagaian sistem pendidikan terikat dengan elemen nasional mahupun swasta, menggarap pendirian badan dan organisasi tertentu, perubahan dasar dan polisi mengikut arus politik perdana dan ketiadaan iltizam jitu yang peka untuk mempertahan dan menjamin sebagaimana sudah wujud dalam Perlembagaan merupakan antara punca mengapa status bahasa sering menjadi bahan jolokan tokoh politik, sarjana, individu, masyarakat serta badan pertubuhan berkepentingan.
Kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan jelas dan terjamin kedudukannya. Jangan dikompromi kedudukannya kerana Perlembagaan yang sama menjamin kepentingan penguasaan dan penggunaan bahasa lain. Yang perlu diterokai adalah perencanaan masa depan nahasa Melayu supaya martabatnya tidak dipermain-mainkan oleh sesiapa.
Satu kelonggaran ke atas statusnya hari ini akan membawa kepada desakan berterusan pada hari mendatang. Jangan tatkala itu, kita meratapi keputusan-keputusan yang dibuat hari ini kerana masa depan bangsa Malaysia tertakluk kepada keupayaan melihat realiti demografi dan geografi dalam ekosistem persekitaran politik, ekonomi dan sosial termasuk keampuhan falsafah pendidikan negara untuk mendampingi Bahasa Melayu sebagai lantai, dinding dan bumbung warna-warni bumi Malaysia.
Pada Oktober 2014, saya pernah mencadangkan dalam penulisan saya di sini bahawa kita memerlukan satu badan induk di bawah Pejabat Perdana Menteri yang bertindak memelihara kedaulatan bahasa Melayu.
Antaranya saya menyatakan – “Majlis Mendaulatkan Bahasa Melayu’ perlu ditubuhkan serta-merta tanpa perlu ditangguh di bawah Pejabat Perdana Menteri supaya lambang keagungan tanah air ini tidak diragut maruahnya. Jangan biar ia tergantung tanpa tali seolah-olah segala usaha hanya bersifat retorik.
“Kita tidak memerlukan undang-undang baharu kerana sudah pun wujud ketinggian kedudukan bahasa di bawah Perlembagaan serta beberapa akta seperti Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan serta Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis ini perlu diberi imuniti untuk mendaulat, memperkasa, mengangkat, memelihara, membimbing dan melatih jiwa bangsa Malaysia melalui bahasa kebangsaan”.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyatakan di Parlimen bahawa satu Jawatankuasa Kajian Semula Pendidikan Negara akan ditubuhkan untuk melihat semula taraf pendidikan. Sebagai seorang sarjana, beliau komited mahu melahirkan insan yang bersifat menyeluruh di semua peringkat pengajaran dan pembelajaran.
Saya percaya Majlis Mendaulatkan Bahasa Melayu ini boleh menjadi badan penasihat; dijadikan permulaan untuk memastikan bahasa Melayu terus unggul menjadi bahasa utama warga Malaysia dan dengan kebertanggungjawaban berterusan dari kementerian beliau, ia boleh mengakhiri kegusaran ke atas kedaulatan bahasa Melayu untuk selamanya.
PROFESOR P. SIVAMURUGAN berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).










