MENCARI DAMAI DI PANTAI PENYABONG - Utusan Malaysia

MENCARI DAMAI DI PANTAI PENYABONG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI-sekala dapat bercuti di tepian pantai memang menyeronokkan. Lebih-lebih lagi dapat menenangkan fikiran dan kekusutan hidup di kota raya yang menyesakkan.

Pesisiran Timur Laut Negeri Johor sememangnya terkenal dengan keindahan pantai yang mempesonakan, ditambah pula dengan keindahan alam semula jadi yang membuai rasa dan fikiran.

Pantai Penyabong yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Endau, Mersing, Johor juga tidak terlepas daripada mempunyai ciri-ciri itu.

Penulis berkesempatan mengunjungi destinasi menarik yang menggamit perasaan bercuti baru-baru ini.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke pekan Endau mengambil masa lebih lima jam, kemudian membawa penulis terus ke Kampung Penyabong.

Tiba sahaja kira-kira pukul 9 pagi, penulis segera mencari tempat untuk bersarapan dan ternyata Penyabong tidak mengecewakan apabila terdapat beberapa warung yang menyediakan menu tradisi menyelerakan seperti nasi dagang dan kuih bakar.

Walaupun terpencil, Penyabong sering menjadi tumpuan penduduk di sekitar Endau, Mersing dan dari luar untuk menikmati menu sarapan serta makan tengah hari yang enak.

Sesuai dijadikan destinasi percutian sama ada bersama rakan atau sekeluarga, pantai Penyabong mempunyai tarikan tersendiri yang bukan sahaja terkenal dengan sejarah tetapi juga menyimpan seribu satu misteri alam.

Faktor itu menyebabkan penduduk tempatan di Penyabong mengambil peluang untuk menjana pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan penginapan calet dan resort yang selesa dan menepati bajet rakyat Malaysia.

Calet dan resort yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan boleh sahaja diinap dengan harga yang berpatutan.

Selain utiliti bilik yang selesa dan memuaskan, tempat penginapan di Penyabong tidak kurang hebatnya kerana turut menawarkan pakej aktiviti seperti ronda-ronda sekeliling pulau, bot memancing, barbeku, karaoke serta menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan berdekatan.

Lokasi yang terletak berhampiran dengan jeti nelayan Kampung Penyabong dan juga pusat aktiviti penduduk tempatan memudahkan pelancong berkunjung ke gerai-gerai makanan dan minuman di situ, selain melihat sendiri aktiviti mendaratkan ikan oleh nelayan.

Jika berkunjung ke situ, jangan lupa menikmati makanan tradisi Penyabong yang sama dengan masyarakat Pantai Timur iaitu nasi dagang, kuih bakar, sata dan keropok lekor.

Pemandangan pulau-pulau seperti Pulau Pelandok, Acheh dan Seri Buat yang terletak berhadapan dengan calet Penyabong Beach Resort pasti membuatkan anda mahu kembali ke situ lagi.

Jangan lupa nikmati juga keindahan pantai Pasir Lanun yang popular di Penyabong apabila menginap di resort tersebut.

Mengimbau sejarah, Penyabong terkenal dengan pantai Pasir Lanun yang mempunyai kisah di sebalik namanya.

Menurut cerita orang kampung, asal nama Penyabong timbul ketika lanun di Laut China Selatan pada kurun ke-19 menjadikan kawasan di situ sebagai tempat persinggahan.

Laut China Selatan ketika itu merupakan laluan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan dari Pantai Timur ke Singapura serta dari China.

Justeru lanun yang berada di sekitar laluan itu sering menjadikan pantai di sekitar Mersing sebagai tempat perlindungan dan mengatur strategi serangan ke atas kapal-kapal pedagang. Bagi mengisi masa lapang, lanun terbabit sering mengadakan aktiviti sabong ayam.

Disebabkan 
faktor itulah, pantai itu akhirnya diberi nama Penyabong. Malah, terdapat sebuah batu besar di tepi pantai Penyabong yang dikatakan menjadi tempat lanun bermain sabong ayam. Batu itu masih wujud sehingga ke hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN