MENAGIH KEADILAN MH17 - Utusan Malaysia

MENAGIH KEADILAN MH17

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak memeranjatkan apabila Amerika Syarikat (AS) gagal mengeluarkan sebarang kenyataan sempena ulang tahun keempat pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS)MH17 yang ditembak jatuh ketika melalui ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014 walaupun tindakan itu dianggap dasar luar yang janggal.

Mengapa dihujahkan sedemikian adalah kerana sehari sebelum ulang tahun MH17, Presiden AS, Donald Trump dan Vladimir Putin dari Rusia mengadakan perjumpaan dan antara kesan pertemuan tersebut menggambarkan Trump telah mengamal sikap mengalah dengan Putin dalam beberapa perkara.

Sebelum ini AS adalah antara negara paling lantang menuduh Rusia yang membekalkan peluru berpandu BUK kepada pemberontak yang menembak jatuh MH17 walaupun pada ketika itu tiada bukti sahih yang menjurus penglibatan Rusia.

Tidak dinafikan isu MH17 telah digunakan oleh AS terutama sekali ketika era Presiden Barack Obama sebagai senjata untuk memulas tangan Putin dan sekali lagi digunakan oleh Trump bukan untuk menambah baik dasar luar AS tetapi lebih untuk menjaga kepentingan peribadi beliau.

Tetapi negara lain yang terkesan secara langsung dalam isu ini seperti Belanda, Australia dan juga Malaysia mesti sentiasa konsisten demi mencari keadilan dan tidak terperangkap dalam percaturan geopolitik kuasa besar AS-Rusia.

Malah kumpulan negara G7 telah mengeluarkan kenyataan beberapa hari sebelum pertemuan Trump-Putin dengan menggesa Rusia supaya mengambil tanggung jawab dan bekerjasama mencari penyelesaian dengan harapan dapat memaksa Trump menimbulkan isu MH17 dalam agenda perbincangan.

Tetapi menariknya kenyataan G7 yang dianggap mempunyai kekuatan kerana diwakili oleh tujuh negara termaju iaitu AS, Jepun, Jerman, Britain, Perancis, Itali dan Kanada mengeluarkan kenyataan supaya Rusia segera berurusan dengan Belanda dan Australia demi mencari titik noktah isu MH17.

Mudah difahami mengapa Belanda disebut secara khusus dalam kenyataan G7 kerana negara tersebut mengetuai dua entiti siasatan tragedi iaitu Pasukan Siasatan Bersama (JIT) dan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB).

Rakyat Belanda paling ramai menjadi mangsa korban iaitu 193 orang kesemuanya. Kemungkinan juga Australia dikaitkan kerana negara itu turut terlibat dalam JIT dan seramai 27 rakyat mereka menjadi korban nahas MH17.

Begitu jua apabila JIT mengeluarkan laporan pada Mei lepas yang mengaitkan secara langsung pembabitan tentera Rusia – Belanda dan Australia adalah negara paling lantang bersuara menuntut keadilan dari Rusia.

Menjadi kemusykilan mengapa Malaysia yang terkait secara langsung dengan 43 rakyat kita telah menjadi mangsa dan pesawat MH17 juga adalah milik syarikat penerbangan negara kita kurang mendapat perhatian jika dikaitkan dengan kenyataan G7 tempoh hari.

Menarik juga diungkit ketika JIT mula ditubuhkan pada Ogos 2014 untuk menyiasat dari sudut jenayah, hanya empat negara yang terlibat iaitu Belanda, Australia, Ukraine dan Belgium.

Tetapi setelah bantahan dibuat oleh Kuala Lumpur, barulah Malaysia menjadi ahli pasukan penyiasat tersebut.

Menjadi harapan Malaysia untuk sentiasa bertegas ketika berhadapan isu MH17 walaupun rintangannya adalah kuasa besar seperti Rusia dan juga AS.

Malah sebelum ini Malaysia dianggap tidak asing dalam mengamalkan pendekatan drastik demi mencari keadilan mangsa tragedi ini.

Diplomatik

Umpamanya pada 2 Julai 2015, Malaysia sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah mengambil tindakan agak ekstrem dengan membentangkan resolusi penubuhan tribunal khas untuk membicarakan kes jenayah dalang MH17.

Walaupun resolusi tersebut gagal dilaksanakan kerana Rusia mengguna kuasa veto, tetapi setidak-tidaknya Malaysia telah melaksanakan tanggungjawabnya yang diamanahkan ketika itu.

Dalam kes kehilangan pesawat MH370 yang berlaku tiga bulan sebelum tragedi MH17, kerajaan telah membuat keputusan yang dianggap berani untuk membentang laporan penuh tragedi tersebut hujung bulan ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook laporan penuh tersebut akan dibentangkan pada umum 30 Julai ini dan diikuti pembentangan di Dewan Rakyat sehari selepas itu.

Keputusan pembentangan laporan dianggap kritikal kerana menurut peruntukan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang mengawal selia hal ehwal penerbangan awam, laporan penuh mengenai kemalangan pesawat hanya dikeluarkan sama ada selepas bangkai pesawat di temui atau misi pencarian tamat.

Walaupun keputusan membentang laporan penuh MH370 dibuat oleh jemaah Kabinet Rabu lepas, tetapi besar kemungkinan ia adalah hasil dorongan daripada menteri berkaitan iaitu Anthony Loke. Keputusan itu dilihat berani kerana isu MH370 juga berkaitan dengan kuasa besar China dan juga Australia.

Amat difahami ketika JIT mengeluarkan laporan pada Mei lepas yang membuktikan pembabitan secara langsung tentera Rusia, kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar ditafsirkan mengandungi nada diplomatik lazim kerana pada ketika itu Datuk Saifuddin Abdullah belum lagi dilantik sebagai menteri.

Mengapa dianggap kenyataan dari Malaysia sebagai lazim dan berprofil rendah adalah kerana kenyataan dikeluarkan Menteri Luar Belanda dan Australia iaitu Stef Blok dan Julie Bishop dianggap tegas dan tidak berselindung menamakan Rusia sebagai bertanggungjawab menyalurkan peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat MH17.

Menangani kemelut kehilangan pesawat MH370, Malaysia akhirnya mempamerkan kekuatan dan iltizam untuk memuktamadkan kaedah penyelesaian dengan menamatkan pencarian sehingga bukti terbaharu ditemui.

Tidak syak lagi keputusan seperti ini memerlukan kekuatan politik yang bukan sembarangan. Begitu juga dalam hal MH17 kekuatan politik dan kepimpinan juga ditagih oleh rakyat demi mengelak isu ini menjadi senjata percaturan geopolitik global.

PENULIS adalah Geostrategist Perdana School and Geospatial Institute, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN