Memulihara naskhah filem klasik Myanmar - Utusan Malaysia

Memulihara naskhah filem klasik Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH lapan dekad lalu, filem aksi hitam putih sangat popular di Myanmar. Aksi lagak ngeri termasuk melarikan diri menggunakan belon udara panas dan adegan berbalas tembakan dengan pemburu haram dalam hutan sangat popular pada era 1930-an.

Salah satu naskhah terawal yang disiarkan pada tahun 1934 mengadaptasi konsep tersebut iaitu filem berjudul Mya Ga Naing yang bermaksud Hutan Zamrud.

Ia disifatkan berjaya kerana mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Filem tersebut mengisahkan kehebatan watak hero mempertahankan hutan yang menjadi habitat ular sawa bersaiz luar biasa daripada pemburu haram tanpa menggunakan sebarang senjata.

Namun, era kegemilangan yang baru dikecapi itu hanya bersifat sementara apabila tentera mengambil alih tampuk pemerintahan Myanmar.

Ketika itu, penapisan yang ketat menjadi amalan pemerintah baharu di samping perubahan landskap pentadbiran yang menjejaskan ekonomi selama 50 tahun setelah gerakan tentera mengemudi Myanmar.

Sejajar dengan malapnya industri kreatif Myanmar, kegemilangan filem hebat yang pernah dihasilkan seperti Mya Ga Naing hanya menjadi memori generasi yang pernah melihat atau mendengar mengenainya.

Sesetengah gulungan filem itu dikitar semula untuk menjimatkan kos. Kini, hanya 12 filem hitam dan putih negara itu masih wujud.

Dalam hal ini, Mya Ga Naing pada asalnya ialah sebuah filem ‘bisu’ yang kemudian dimasukkan muzik dan dialog. Ia merupakan salah satu filem klasik yang paling lama ditemui dan dipelihara setakat ini.

Perkara itu mencemaskan pihak arkib negara tersebut selama beberapa dekad sebelum pakar dari Itali meluangkan waktu hampir setahun untuk memperbaiki filem-filem klasik itu satu demi satu, melakukan pemeriksaan serta mengekalkan versinya pada tahun 2016.

Pakar dalam bidang itu meluangkan masa selama ratusan jam di makmal L’immagine Ritrovata di Bologna, Itali untuk memperbaiki calar-calar kecil yang terdapat dalam filem tersebut.

Ia termasuk usaha melakukan proses digitalisasi menggunakan pelbagai sumber asal termasuk beberapa buah filem yang dijumpai di sebuah arkib di Berlin, Jerman yang masih menyimpan bukti salinan filem itu.

Kelahiran baharu

“Setiap kali proses penyimpanan dilakukan, ia seperti satu kelahiran baharu sebuah filem. Ia sangat mengujakan kerana kami cuba memberitahu orang ramai bahawa negara kami turut mempunyai sejarah panggung wayang sendiri,” ujar Severine Wemaere yang merupakan pengasas bersama MEMORY.

Mereka merupakan pihak yang bertanggungjawab melakukan proses pemulihan itu dan berjaya mengumpul dana serta kutipan derma sebanyak AS$100,106 (RM406,825).

Filem-filem klasik itu dimainkan semula pada festival di Singapura, Thailand dan Switzerland.

Selain itu, sekumpulan pemuzik membuat persembahan di Yangon, Myanmar baru-baru ini untuk mengekalkan keaslian lagu asal dan menggabungkan muzik tradisional tempatan serta jazz Barat.

Koleksi filem-filem klasik itu terus menerima pujian antarabangsa khususnya daripada pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco).

Filem pertama negara itu ditayangkan pada tahun 1920-an.

Namun pada tahun 1950-an, industri filem negara itu berada pada zaman kegemilangan selepas penerbit filem Myanmar mengetengahkan pelbagai ciri dan corak penceritaan pada setiap tahun.

Plot cerita semakin berubah pada pertengahan abad ke-20 selepas rejim tentera negara itu menghancurkan kreativiti dan menutup pintu untuk pengaruh asing serta perkembangan teknologi.

Kini, hampir kesemua filem terawal tersebut telah hilang.

Namun, kejayaan filem Mya Ga Naing dapat mengembalikan sejarah lama industri filem Myanmar.

Filem seterusnya berjaya dipulihkan pada tahun 2017 iaitu Pyo Chit Lin (My Darling). Filem komedi yang diterbitkan pada tahun 1950 itu diarah oleh Tin Myint.–AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN