Memahami fungsi sebuah  bahasa kebangsaan - Utusan Malaysia

Memahami fungsi sebuah  bahasa kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH fungsi bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi sesebuah negara? Jawapan secara umum ialah  ia adalah sebagai lambang identiti negara tersebut, alat perhubungan antara setiap warganegara, perantara urusan-urusan rasmi negara dan merupakan medium penyatuan pelbagai kaum yang terdiri daripada latar belakang sosiobudaya yang berbeza.

 Sama seperti negara-negara lain yang mempunyai bahasa rasmi negara masing-masing. Di negara ini, berdasarkan Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia yang mesti digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan, sidang Parlimen dan sebagainya.
 Pada masa yang sama, sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu merupakan medium untuk mencerminkan nilai-nilai sosiobudaya, pemikiran, falsafah dan cara hidup masyarakat pelbagai kaum di bawah satu bumbung geopolitik. Ertinya, bahasa kebangsaan berfungsi sebagai bahasa penyatuan bagi segenap lapisan masyarakat dan negeri.
 Dalam hubungan ini, bahasa Melayu memungkinkan pelbagai kaum di Malaysia mencapai keserasian hidup sebagai bangsa yang bersatu dengan tidak perlu meninggalkan identiti asal dan kesetiaan kepada nilai-nilai sosiobudaya serta latar belakang bahasa ibunda masing-masing.
 Berdasarkan kedudukan ini, bahasa Melayu berfungsi sebagai struktur asas yang menghubungkan perpaduan dan integrasi semua kaum, manakala bahasa ibunda pula merupakan substruktur yang lebih berfungsi sebagai penyataan imej-imej budaya kelompok yang kedudukannya perlu berada di bawah fungsi besar bahasa kebangsaan.
 Ia bererti, apabila bahasa ibunda digunakan dalam urusan rasmi atau diberi fungsi yang setara atau lebih tinggi daripada bahasa kebangsaan, secara langsung ia telah ‘mengganggu’ kepentingan nasional dan menimbulkan ‘kecemasan-kecemasa’ sosial dalam aspek hubungan antara kaum, persepsi dan sebagainya.
Pada sisi lain, apabila bahasa ibunda diberi kedudukan yang setara dengan bahasa kebangsaan, ia akan memberi imej tentang betapa rendahnya rasa memiliki dan kebanggaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan.
 Bayangkan apabila setiap kaum menginginkan bahasa ibunda masing-masing disetarakan fungsinya dengan bahasa kebangsaan. Atau, tiada lagi masyarakat yang bangga dengan bahasa rasmi negara mereka. Pasti, tidak akan ada Malaysia yang bersatu dan meletakkan keadaan ini seperti dalam sebuah ironi.
 
Fungsi
 Tanpa kita sedar, bahasa Melayu di Malaysia hari ini sedang berhadapan dengan peperangan bahasa. Ia merujuk kepada beberapa aspek iaitu fungsi dalam pelbagai urusan sama ada rasmi atau sebaliknya, jumlah penutur, pengaruh kosakata-kosakata asing dan kehilangan istilah asal serta pudarnya kebanggaan terhadap bahasa tersebut. 
 Implikasi daripada perang bahasa ini ialah kemunduran fungsi bahasa kebangsaan dan terdapat kemungkinan-kemungkinan ia menjadi lemah, tidak dihormati serta memudarkan rasa bangga dan semangat patriotik terhadap negara. 
 Mungkinkah manusia dalam sebuah negara hidup tanpa satu entiti geopolitik yang sangat penting iaitu bahasa kebangsaan? Mustahil bukan? Bahasa kebangsaan adalah citra khusus sebuah negara bangsa, sama seperti sebuah bendera negara. Peminggiran dan penafian terhadapnya bererti ancaman terhadap identiti negara.
 Apabila fungsi serta kedudukan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa ibunda, ia turut memberi ancaman terhadap kebudayaan negara. Apakah manusia mampu hidup dalam kebudayaan monolingual yang berteraskan etnik tanpa memerlukan satu budaya teras yang berasaskan manusia-manusia lain?
 Bahasa Melayu sebagai salah satu medium penuturan utama di negara ini dan Nusantara tidak akan punah. Tetapi ‘kepunahan’ fungsi dan kedudukannya yang perlu dibimbangi apabila terpaksa bersaing dengan bahasa asing dan penggunaan bahasa-bahasa ibunda yang meluas, termasuk dalam urusan-urusan rasmi.  
 Secara teori, bahasa umumnya bertahan dalam tempoh yang relatif singkat dan pada masa yang sama risiko kepunahannya cukup tinggi. Mungkin hanya beberapa yang masih hidup dan kini berusia lebih 2,000 tahun. Antaranya bahasa Arab, Basque, Sanskrit, Cina, Greek, Ibrani, Latin, Parsi dan Tamil.
 Ahli linguistik, Ranka Bjeljac-Babic dari Universiti Poitiers, Perancis telah mengkaji hubungan antara kepunahan bahasa dan kolonialisme. Hasil kajian tersebut dimuatkan dalam tulisannya, 6,000 Languages: an Embattled Heritage (2000).
 Kesimpulan yang dibuat oleh Bjeljac-Babic ialah kepunahan ribuan bahasa di dunia turut disebabkan oleh penjajahan dan kekaguman penduduk pribumi terhadap bahasa penjajah. Dapatan Bjeljac-Babic ialah kolonialisme telah melenyapkan sekurang-kurangnya 15 peratus bahasa yang digunakan pada saat penjajahan itu berlangsung.
 
Punah
Buktinya, sekitar 100 bahasa etnik di Eropah punah akibat penjajahan lebih 300 tahun oleh etnik yang lebih dominan. Di Australia hanya 20 daripada 250 bahasa digunakan menjelang akhir abad ke-18. Begitu juga di Brazil, Portugal telah memusnahkan lebih 400 daripada 540 bahasa etnik di negara itu sejak penjajahan pada tahun 1530.
 Contoh-contoh kemusnahan bahasa yang dikemukakan oleh Bjeljac-Babic ini hanyalah anologi tentang kebimbangan kita mengenai masa depan bahasa Melayu. Meskipun ia tetap dipertuturkan, kecenderungan oleh kelompok-kelompok atau kaum untuk meletakkan bahasa etnik setaraf dengannya merupakan sesatu yang membimbangkan.
 Sebagai salah satu identiti kebangsaan, bahasa Melayu berada setara dalam aspek fungsi dan falsafahnya, sama seperti bendera Jalur Gemilang dan lagu Negaraku. Jika bendera negara dikibar, lagu kebangsaan dinyanyikan, bahasa Melayu pula harus dipertuturkan dan digunakan dalam semua urusan-urusan rasmi kenegaraan.

Penasihat Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Tun Hanif Omar (empat dari kiri) menyampaikan Memorandum Bantahan Penggunaan Bukan Bahasa Melayu dalam Urusan Rasmi Kerajaan kepada Setiausaha Bahagian Strategi, Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan Suhaili Ahmad di Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN