MELAKA – Stadium dan venue sukan di negeri ini tidak sepatutnya dilihat sebagai sebuah lokasi penganjuran sukan semata-mata, sebaliknya pusat aktiviti rakyat terutamanya aktiviti riadah bersama keluarga, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Melaka, Nick Yong Yoon Pin
Justeru, beliau berkata perbadanan itu akan mempelbagaikan aktiviti dalam kalendar tahunannya, antaranya melibatkan hiburan dan kebudayaan dan tidak fokus kepada penganjuran sukan sahaja bagi menarik lebih ramai orang berkunjung ke stadium serta venue sukan lain di Melaka.
“Misi saya selain daripada mengurus dan membangunkan perbadanan ini, kita juga mahu mempromosikan venue utama di Kompleks Sukan Hang Jebat (KSHJ) secara lebih profesional, sistematik, cekap dan paling penting kita akan pelbagaikan kegunaan stadium secara maksimum.
“Kita harap perancangan ini boleh dibuat secara berterusan kerana dengan memvariasikan aktiviti di stadium, ia membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk sekitar dan sekali gus membantu pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Perbadanan Stadium Melaka yang ditubuhkan di bawah Enakmen Perbadanan Stadium Melaka 2004 memulakan operasi 16 Sept 2004 menguruskan gelanggang dan pusat di bawah KSHJ iaitu Stadium Hang Jebat, Pusat Akuatik Hang Jebat, Pusat Squash Hang Jebat, Pusat Lawn Bowl Hang Jebat, Pusat Ekuestrian Hang Jebat dan Kompleks 10 Padang Bolasepak Hang Jebat. – Bernama










