KUALA LUMPUR 25 Julai – Sebarang keputusan bakal diambil kerajaan Pakatan Harapan berhubung penelitian semula terhadap Model Ekonomi Baharu (MEB) harus berpaksikan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan kerana ia merupakan asas terhadap polisi itu ketika digubal.
![]() |
|
NIK AHMAD KAMAL
|
Walaupun pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan MEB sering mendapat tanggapan sinis daripada segelintir orang bukan Melayu, kesan tidak langsung dasar berkenaan terbukti sudah dirasai orang Cina dan India yang ternyata kini menjadi antara ‘taikun’ atau pemain industri besar dalam ekonomi negara.
Pakar governans dan perundangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, seandainya kerajaan mahu mewujudkan satu polisi baharu, keistimewaan Melayu dan bumiputera tidak boleh dinafikan walaupun ia bakal dirangka berdasarkan konsep pengagihan ekonomi secara adil dan saksama kepada semua rakyat.
“Maknanya Perkara 153 itu adalah asas DEB diikuti MEB dan kemudian apa sahaja dasar baharu yang akan diperkenalkan kerajaan yang memerintah.
“Anggapan ia tidak adil kepada bukan Melayu hanyalah satu prasangka, sebaliknya lihat kembali DEB pada tahun 1970 itu walaupun penekanan diberikan kepada kemiskinan orang Melayu, namun hasilnya juga dapat dirasai oleh kaum-kaum lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memberi jaminan bahawa langkah berkenaan tidak mengetepikan hak golongan bumiputera di negara ini.
Kajian semula terhadap MEB dilaksanakan bagi membolehkan semua golongan masyarakat termasuk di Sabah dan Sarawak turut mendapat perhatian serius daripada kerajaan.
![]() |
|
IBRAHIM ALI
|
Dalam pada itu, bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, apa-apa sahaja keputusan yang bakal diambil kerajaan kelak perlu berasaskan semangat untuk menyusun semula masyarakat bagi mewujudkan pembahagian kek ekonomi yang adil.
Beliau berkata, polisi baharu itu juga tidak boleh dibuat untuk mencari populariti semata-mata tetapi perlu mengutamakan orang Melayu dan bumiputera selaku penduduk majoriti.
“DEB dan MEB jelas mahu menyusun semula masyarakat iaitu supaya bumiputera mencapai pencapaian ekonomi sebanyak 30 peratus. Dasar baharu yang mahu digubal ini juga mesti memperincikan kaedah boleh membantu ke arah pembahagian kek ekonomi yang adil,” katanya.












