NIZHNY NOVGOROD – Pemain tengah Perancis, Blaise Matuidi menegaskan, bintang dalam pembikinan, Kylian Mbappe mampu merosakkan perancangan Uruguay menjelang pertemuan ke–dua-dua pasukan pada aksi suku ak–hir di Stadium Nizhny Novgorod malam ini.
Matuidi, 31, yakin Mbappe, 19, akan sekali lagi menjadi wira Les Bleus seperti menghasilkan gol dan berjaya memperoleh sepakan penalti ketika menewaskan Argentina 4-3 pada pusingan 16 terbaik di Arena Kazan, 30 Jun lalu.
Mbappe juga berjaya memporak-perandakan sistem permainan Argentina dan Matuidi percaya bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak akan dapat disekat dengan apa cara sekali pun oleh Uruguay menerusi apa cara sekali pun malam ini.
“Bukan mudah untuk mengawal Mbappe kerana dia boleh bergerak bebas walaupun dalam ruang yang sempit. Setiap hari saya berdepan masalah untuk mengawalnya pada sesi latihan.
“Saya akui Uruguay adalah lawan yang sukar dan jarang memberikan ruang kosong kepada mana-mana penyerang pihak lawan. Namun, Mbappe mampu mencari ruangnya sendiri dan kami percaya dia boleh melepasi halangan mereka,” kata Matuidi.
Kelincahan dan kemahiran individu Mbappe pastinya bakal menjadi igauan buat dua pertahanan tengah Uruguay, Diego Godin dan Jose Gimenez menjelang pertemuan malam ini.
Pemenang antara Perancis dan Uruguay akan bertemu Brazil atau Belgium pada aksi separuh akhir di Stadium Saint Petersburg, 11 Julai ini. – Agensi











