SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengetuai senarai empat penerima anugerah pangkat kehormat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada satu majlis khas di sini hari ini.
Beliau menerima anugerah Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba daripada Ketua Pengarah JPBM, Mohammad Hamdan Wahid.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong menerima pangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba.
Mohamad Hamdan berkata, penganugerahan pangkat tersebut diberikan kepada pemimpin kerajaan negeri bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka kepada JPBM khususnya yang berkait dengan aspek kebombaan dan keselamatan kebakaran.
“Kerajaan negeri juga banyak membantu dan memberi kerjasama kepada JPBM dalam perolehan tapak bagi pembinaan prasarana berkaitan seperti balai bomba.
“Para pemimpin ini juga adalah ikon masyarakat yang memainkan peranan meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan orang ramai daripada bencana alam dan kebakaran,” katanya.
Menurut beliau, sehingga kini pihaknya mengenal pasti kira-kira 50 individu yang akan menerima anugerah tersebut di peringkat negeri mahu pun Persekutuan. – K! ONLINE











