Mayat lelaki ditemui tepi lebuh raya - Utusan Malaysia

Mayat lelaki ditemui tepi lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI – Polis menemui mayat seorang lelaki tanpa identiti dalam keadaan tertiarap di tepi lereng kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, pagi tadi.

Penemuan mayat lelaki berusia lingkungan 35 hingga 40 tahun berhampiran Kampung Jerangkang itu dimaklumkan kepada polis pada pukul 11.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, mangsa memakai baju jersi warna kuning dan berseluar pendek warna biru.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa oleh pihak forensik mendapati lelaki terbabit hanya mengalami kecederaan ringan seperti calar-calar pada badan.

“Pemeriksaan lanjut polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata dan barangan lain yang melibatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk dibedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Setakat ini kematian tersebut diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenar,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN