JOHOR BAHRU – Mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh sebelum separuh badannya ditanam dalam tanah di sebuah kebun durian di kawasan Bandar Baru Kangkar Pulai di sini petang kelmarin.
Mayat lelaki dipercayai berusia antara 18 hingga 40 tahun itu ditemui pada pukul 2.30 petang orang awam dalam keadaan mereput pada bahagian muka dan sudah berwarna hitam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan penyiasat ditugaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari jalan utama.
“Ketika ditemui, mayat lelaki itu berpakaian lengkap baju-T berwarna merah dan berseluar jeans pendek.
“Selain itu, kita turut menjumpai menjumpai wayar ‘jumper’ bateri kereta berhampiran mangsa namun tidak terdapat kecederan fizikal yang dapat dilihat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noor Hashim berkata, siasatan pihaknya mendapati mayat lelaki tanpa identiti itu merupakan warganegara tempatan berdasarkan kesan suntikan BCG pada lengan kiri mangsa selain bangsa belum diketahui.
Katanya, mayat dipercayai sudah mati antara seminggu ke dua minggu dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh kesan lebam di bahagian dada akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul seperti getah paip atau tali (blunt force trauma to the chest with ligature strangulation).
“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa dipukul menggunakan senjata tumpul sebelum mayatnya ditanam di kawasan berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE










