Matrade unjur eksport barangan gaya hidup naik 5% - Utusan Malaysia

Matrade unjur eksport barangan gaya hidup naik 5%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Julai – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan peningkatan lima peratus bagi eksport barangan gaya hidup tahun ini berbanding RM39.18 bilion pada tahun lalu.

Pengarah Bahagian Gaya Hidup dan Sains Hayat Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, eksport barangan gaya hidup berkembang kukuh lima hingga enam peratus setahun sejak lima tahun lepas.

“Untuk lima bulan tahun ini, kami sudah merekodkan kira-kira RM15 bilion nilai eksport, dengan RM4.21 bilion dari pasaran ASEAN.

“Kami yakin menerusi platform untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti Minggu Gaya Hidup ASEAN (ALW) 2018, PKS akan lebih terdedah kepada pasaran ASEAN dan antarabangsa, dan dapat mengeksport lebih banyak barangan gaya hidup buatan Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran laman web mikro ALW aseanlifestyleweek.com di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Pe­nyayang Malaysia (Penyayang), Datuk Leela Mohd. Ali.

Tambah Abu Bakar, eksport barangan gaya hidup, yang meliputi tekstil, pakaian dan aksesori selain perabot, dijangkakan terus meningkat berikutan perubahan cara hidup masyarakat Malaysia ketika ini.

Sementara itu mengulas me­ngenai penganjuran ALW 2018, Abu Bakar berkata acara sulung yang dianjurkan Penyayang pada 8 hingga 9 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akan disertai kira-kira 150 pempamer yang terdiri daripada penggiat industri tempatan dan ASEAN.

Acara itu juga menarik minat ramai, termasuk dari Perancis, India dan Hong Kong.

“Matrade bukan sahaja akan membantu mempromosi produk PKS tempatan, malah akan membimbing mereka untuk mening­kat ke tahap seterusnya dan mencapai kejayaan yang lebih besar, dan pada masa yang sama menjadikan KL sebagai gerbang ASEAN atau hab untuk pembeli dan penjual dari seluruh dunia untuk berkumpul dan berniaga,” katanya.

Dalam pada itu, Leela berkata, Penyayang telah memperjuangkan seni dan reka bentuk Batik Malaysia sejak 15 tahun lepas dan berharap lebih banyak produk kreatif dihasilkan oleh penggiat tempatan tidak hanya terhad kepada pakaian Batik.

“Kami mahu melihat lebih banyak pembuat batik dapat menyerlahkan warisan negara ke seluruh dunia dalam pelbagai jenis produk gaya hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN