KUALA KANGSAR – Lebih 200 penduduk Kampung Labu Kubong di sini hari ini bersepakat menghidupkan kembali budaya tradisional yang ditinggalkan sejak hampir 50 tahun lalu iaitu memindahkan rumah dengan cara mengusungnya beramai-ramai.
Penganjur Program Tradisi Mengusung dan Mengangkat Rumah, Meor Samsudin Abu Hassan berkata, idea untuk menghidupkan kembali amalan yang dilakukan nenek moyang itu hadir selepas timbul rasa kesedaran dalam kalangan mereka untuk menjaga tradisi tersebut.
“Apabila kami penduduk kampung melihat terdapat sebuah rumah tradisional yang lengkap ciri-cirinya dan elok, kami membuat keputusan untuk menjaganya agar dapat ditatap generasi baharu.
“Pada awalnya saya bercadang untuk meleraikan rumah tersebut dan memasangnya kembali di lokasi baru, namun timbul idea agar pemindahan rumah berkenaan dilakukan dengan cara mengusungnya,” katanya selepas ditemui pemberita di padang kampung berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut ialah Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Tambah Meor Samsudin, rumah tradisi yang dipindahkan ke lokasi baru kira-kira 150 meter dari tapak asal itu akan ditambah baik dan dijadikan sebagai produk pelancongan di kampung tersebut.
“Kira-kira 100 penduduk kampung dan 100 pelajar dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) selain 40 pelajar pusat tahfiz dari Pattani, Thailand terlibat dalam program usung dan angkat rumah ini.
“Ternyata kami terpaksa menggunakan seluruh kudrat yang ada bekerjasama mengangkat dan mengusung rumah tradisi yang mempunyai berat kira-kira enam tan,” jelasnya. – K! ONLINE











