Masjid turut boleh dijadikan sebagai pusat ilmu- Raja Perlis - Utusan Malaysia

Masjid turut boleh dijadikan sebagai pusat ilmu- Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 26 Julai – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, masjid bukan hanya menjadi tempat beribadat khusus bagi umat Islam sebaliknya turut menjadi pusat ilmu yang dinamik dan terbuka kepada pelbagai disiplin ilmu.

Baginda bertitah, ilmu tersebut termasuk di dalam bidang profesional seperti kesihatan, perundangan dan bidang kemahiran.

Titah baginda, pengajaran ilmu ini amat penting supaya masyarakat tidak ketinggalan dalam kemajuan dan isu-isu semasa serta berupaya membuat penilaian melalui sumber yang sahih serta adil.

“Bahkan, pengajaran ilmu agama dan lain-lain ilmu sekalipun hendaklah memberi fokus kepada objektif ataupun ‘Maqasid Syariah’,” titah baginda.

Baginda bertitah demikia ketika berkenan berangkat merasmikan Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama, Jalan Kaki Bukit di sini semalam.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh pengerusi masjid tersebut, Ramli Jusoh beserta ahli-ahli jawatankuasa kariah masjid.

Masjid yang bernilai RM7 juta itu adalah hasil sumbangan serta wakaf daripada pelbagai pihak dan mula dibina pada tahun 2013.

Sementara itu, baginda turut memuji usaha yang dilakukan oleh MAIPs bagi mengajak masyarakat bukan Islam supaya berkunjung ke masjid bagi mengenali dengan lebih dekat mengenai ajaran Islam.

“Perkara ini amat penting supaya kita semua saling memahami dan menghormati ajaran dan budaya masing-masing. Dengan ini, barulah rakyat dapat hidup dengan harmoni tanpa syak wasangka dan saling tolong-menolong demi kesejahteraan bersama,” titah baginda.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN