Masjid buluh tarikan pelancongan - Utusan Malaysia

Masjid buluh tarikan pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 16 Julai – Masjid Buluh yang terletak berhampiran gua batu kapur di sini berpotensi menjadi tarikan eko-pelancongan di negeri ini.

Bagaimanapun, mercu tanda baharu yang dibina pemaju perumahan Bandar Utama di sini itu dilihat gagal menarik perhatian pengunjung biarpun terletak berhampiran jalan utama Gua Musang-Kuala Krai di sini.

Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk menambah baik kemudahan awam khususnya fasiliti di masjid itu berasaskan binaan batang buluh yang pertama di negeri ini.

Seorang pengunjung, Siti Fatimah Seepein, 29, berkata, PBT harus menyegerakan usaha menaik­taraf kemudahan di masjid itu.

Katanya, usaha itu bagi memperindahkan kawasan sekitar selain menyediakan kemudahan lain sebagai tarikan kepada pe­ngunjung.

“Perkara yang harus ditekankan untuk ditambah baik adalah aspek keindahan kawasan masjid, pencahayaan lampu dan kemudahan riadah.

“Selain dapat beribadah, pe­ngunjung juga dapat melakukan aktiviti serta melihat suasana gua batu kapur semula jadi yang indah,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Suariman Mohd. Zain, 32, berkata, keindahan struktur alam semulajadi itu menjadi tumpuan awam untuk bersantai, beriadah dan merehatkan minda bersama ahli keluarga.

Katanya, pelan pembangunan harus dilaksanakan oleh PBT de­ngan pihak pemaju masjid itu.

“Kita melihat masjid buluh ini begitu unik apabila binaannya sepenuhnya dibuat daripada buluh.

“Masjid Buluh itu pastinya akan membawa kepada pertumbuhan kawasan baharu yang maju sekiranya kawasan lapang ini turut disediakan dengan lot perniagaan dan kawasan rekreasi atau permainan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN