KOTA KINABALU 26 Julai – Pengurusan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu akan membuka semula operasi pelancongan di masjid itu kepada semua pelancong bermula Rabu depan.
Pengerusinya, Datuk Ab. Jamal Sakaran berkata, pihaknya turut menetapkan bayaran sebanyak RM5 bagi setiap pelancong sebagai prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.
Katanya, langkah itu bagi memastikan tatacara dan peraturan ketika berada di kawasan rumah ibadat tersebut dapat dijaga selain mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
“Syarat yang digariskan dalam SOP tersebut turut memperketatkan kehadiran pelancong termasuk hanya menerima kunjungan daripada syarikat pelancongan, teksi dan perkhidmatan Grab atau e-hailing yang berdaftar dengan Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sahaja.
“SOP baharu ini diwujudkan selepas perbincangan bersama dengan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan dan pihak pengurusan pelancongan menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Pelancongan baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat SOP bersama pengusaha pelancongan negeri dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah pelancongan negeri, Ag. Ahmad Zaki Abu Bakar dan ahli jawatankuasa masjid itu, Syed Husin Habib Omar.
Pada 24 Jun lalu, pengurusan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu menutup kawasan masjid kepada pelancong asing, susulan tersebar video berdurasi 10 saat menunjukkan aksi dua wanita China menari di atas pagar masjid dengan berpakaian seksi.
Ab. Jamal berkata, disebabkan kejadian itu, pengurusan masjid memperkenalkan 10 SOP baharu berhubung tatacara lawatan khususnya pelancong asing ke kawasan itu yang wajib dipatuhi oleh semua pihak.
“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan dibawah Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 yang memperuntukkan mana-mana syarikat pelancongan telah menjejaskan industri pelancongan keseluruhan berdepan tindakan pembatalan lesen perkhidmatan itu,” tegas beliau. – UTUSAN ONLINE










