Masih jauh, khazanah negara semakin bergelora - Utusan Malaysia

Masih jauh, khazanah negara semakin bergelora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bila Malaysia memulakan agenda pembangunannya di atas hamparan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain, berdepan cabaran amat getir membangunkan institusi-institusi ekonomi bagi menguncupkan jurang ekonomi.

Ketika itu negara belum pun membina tenaga mahir bagi memenuhi keperluan itu. 

Apa pilihan yang  Allahyarham Tun Razak ada ketika itu? Pertama, agenda pendidikan diamanahkan untuk menyediakan jawapannya. Ramai dihantar belajar termasuk di luar negara dengan harapan sekembalinya mereka kelak kekosongan tenaga mahir, baik dalam institusi ekonomi milik kerajaan mahupun sektor korporat atau swasta dapat diisi. Misi itu terlaksana  selang beberapa tahun kemudian.

Pilihan kedua yang Tun Razak ada dan nekad melakukannya ialah dengan menjelmakan ramai penjawat awam diamanahkan untuk menerajui banyak agensi ekonomi baru yang ditubuhkan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Maka lahirlah tokoh-tokoh seperti YM Raja Tan Sri Alias, YM Tunku Tan Sri Shahriman, Tan Sri Basir, Tan Sri Abd Aziz Rahman, dan ramai lagi.

Hari ini kaum bumiputera terutamanya, boleh berlapang dada. Begitu ramai juara ekonomi gah menerajui institusi-institusi ekonomi ini, baik dalam sektor swasta, agensi kerajaan, agensi enterprais awam dan GLC milik kerajaan berkepentingan awam.  Institusi-institusi inilah kini berdiri megah sebagai institusi khazanah negara. Ramai daripada mereka ini bukan calang-calang ketokohannya, ibarat dicampak ke laut ia menjadi pulau, di baling ke hutan ia menjadi gunung. 

Dengan ekonomi di sektor swasta terus berkembang pesat dan dapat diimbangi oleh pelbagai institusi khazanah negara, usahawan dalam kelompok IKS dan enterprais mikro, kita berdepan pula dengan cabaran baru. Jika selama ini gelora-gelora politik tidak menjejaskan rentak dan peranan pelbagai institusi ekonomi ini, tetapi sejak kebelakangan ini timbul kebimbangan bahawa tempias tsunami politik tidak mengenal sempadan.

Memang dijangkakan perubahan kerajaan akan turut mewujudkan reaksi berantai yang tempiasnya pasti menggoyangkan lain-lain institusi kepentingan awam, termasuk institusi ekonomi khazanah negara. Kita sudah lali dengan perubahan kerajaan di peringkat negeri, tapi di peringkat Kerajaan Persekutuan, ini adalah kali pertama. Banyak pihak yang masih kekok dengan perubahan ini. 

Siapa pun menerajui kerajaan baharu pastinya mahukan semua jentera pentadbiran dan pengurusannya sebulu dan sealiran pemikiran dengan mereka. Itu adalah hakikat dan semua mereka yang berada di tampuk pentadbiran dan pengurusan tertinggi tahu akan kemungkinannya. 

Dalam sehari dua ini pastinya banyak pihak akan mempersoalkan tindakan kerajaan menerima perletakan jawatan semua lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah). Seperti dijangka, parti pembangkang (Barisan Nasional) pasti mempersoalkan tindakan itu. Akan tetapi persoalan mereka tidak membawa apa-apa makna.

Saya tidak berhasrat untuk mempersoalkan tindakan Lembaga Pengarah Khazanah berbuat demikian. Mereka cukup bijaksana dalam bertindak untuk tidak bertembung secara terbuka dengan kerajaan semasa (Government of the day). Tidak ada sebab juga untuk saya mempersoalkan tindakan kerajaan menerima perletakan jawatan mereka. Itu hak mereka sebagai kerajaan.

Tetapi saya terkilan. Hampir setengah kurun kita memerah keringat untuk melahirkan begitu ramai tokoh korporat bertaraf dunia, takkanlah begini kesudahannya. Betul, ada beberapa bad apples dalam kalangan mereka.

Nyahkan mereka itu tapi jangan sempalitkan dosa itu kepada orang lain yang passionate memikul amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Seandainya tokoh-tokoh yang dimaksudkan itu meminggirkan diri, terkilan dengan apa yang berlaku, pada masa itu datang pula lamaran daripada pihak lain di luar sana, siapa yang rugi? Insiden seperti ini pernah berlaku dan tidak mustahil ia akan berulang lagi. Kita juga yang rugi.

Saya mengharapkan kerajaan memikirkan satu mekanisma bagaimana insiden seperti ini tidak akan berulang lagi. Kita ambil contoh bagaimana Norway menubuhkan Pension Fund Board yang diletakkan terus di bawah pentadbiran Parlimen, bukan di bawah pentadbiran kerajaan. Sebabnya adalah supaya badan pelaburan ini tidak terjejas oleh perubahan institusi politik. 

Jika kerajaan semasa merasakan kerajaan terdahulu terlalu mempengaruhi pengurusan Khazanah dengan meletakkan beberapa kroni mereka menganggotai Lembaga Pengarahnya, yang sepatutnya dirombak bukan saja keanggotaan Lembaga Pengarah itu tetapi juga aspek perundangannya. Tiba masanya kerajaan memikirkan perubahan aspek perundangan mengenai kedudukan Khazanah ini, malah lain-lain institusi strategik seumpamanya, dengan menteladani Norway, misalnya. 

17 Ogos 2018 ini, genap 100 hari kerajaan Pakatan Harapan memerintah. Dewan pun masih bersidang, maka masih ada masa untuk perubahan perundangan dilakukan bagi melindungi kedudukan Khazanah terutamanya, agar ia tidak sewenang-wenangnya dirombak. Rombaklah tapi jangan sampai tangan bertepuk terlupa telur digenggam.

* Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN