Masa untuk DS3 cuba nasib - Utusan Malaysia

Masa untuk DS3 cuba nasib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Julai – Kemunculan banyak kumpulan muzik tempatan tidak menghalang DS3 untuk turut mencuba nasib dalam bidang seni.

Sebagai permulaan, kumpulan yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu mempertaruhkan single Seandainya Aku dan Egois sebagai percaturan untuk meraih sokongan daripada peminat tempatan.

Jelas Cuna Alfian atau Muhammad Husna Khaliq Alfian, kedua-dua single itu telah lama dihasilkan cuma mereka tidak ada kesempatan untuk mempromosi lagu-lagu tersebut.

Dia yang bertindak sebagai vokalis berkata, kumpulan yang ditubuhkan pada 2015 itu tidak kesal biarpun single mereka terpaksa diperam begitu lama kerana beberapa halangan termasuklah kesibukan masing-masing.

Selain Cuna, DS3 turut dianggotai oleh abangnya, Atan atau Mohd. Rohaizad (bes), Daus atau Muhammad Firdaus Masri (gitaris), Mohd. Zamri Baharin (dram) dan Fafa atau Siti Arfah Sukri (vokalis).

“Biarpun lagu-lagu tersebut sudah lama saya cipta tapi masalah kewangan untuk menghasilkan lagu serta pemilihan ahli kumpulan, membuatkan kami terpaksa tunggu lama untuk tampil dengan single, selain masing-masing sibuk bekerja.

“Biar lambat, janji kami berpuas hati dengan hasil kerja tersebut. Sekarang ini adalah masa untuk kami mempromosi kedua-dua lagu tersebut. Lagu-lagu tersebut telah dimuat naik dalam saluran YouTube sejak Januari lalu,” kata Cuna tentang lagu berentak rock dan alternatif itu.

Cuna yang pernah menghasilkan lagu Semakin Rindu untuk kumpulan Real Spin berharap kehadiran DS3 dalam persada seni tempatan akan melangkah lebih jauh dan kekal lama.

Tambahnya, disebabkan setiap anggota mempunyai pekerjaan tetap maka mereka hanya berpeluang melakukan promosi pada hujung minggu saja.

“Kami bukanlah pemuzik sepenuh masa tapi sentiasa berusaha untuk mengimbangi kerjaya yang ada dengan karier muzik kerana tidak mahu mengabaikan bakat yang ada.

“Bagi orang luar mungkin kami orang baharu, tapi untuk orang sekitar Kuala Pilah, kami kerap diundang untuk menjayakan pelbagai majlis. Melalui persembahan begitulah kami dapat mempromosi single tersebut,” jelasnya.

Kata Cuna, berada dalam industri muzik masa kini, DS3 turut mengikuti perkembangan semasa agar tidak ketinggalan. Selain itu, katanya, perbezaan DS3 berbanding kumpulan lain adalah mereka mempunyai dua vokalis dan seorang daripadanya wanita.

“Orang pasti akan kata, biasalah kalau ada kumpulan muzik baharu. Saya mahu tekankan di sini kami berbeza kerana DS3 ada dua penyanyi dan seorang daripadanya wanita. Lagu-lagu yang didendangkan adalah lagu ciptaan sendiri.

“Setakat ini saya lebih selesa mendendangkan lagu-lagu sendiri dan sekarang ini pun sudah ada beberapa koleksi lagu dalam simpanan. Saya juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana penyanyi yang berminat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN