LONDON 19 Julai – Masa depan Kurt Zouma bersama Chelsea menjadi tanda tanya selepas Murizio Sarri menggugurkannya daripada senarai 25 pemain untuk aksi pra musim.
Pasukan Chelsea berangkat ke Australia bagi memulakan aksi pra musim mereka bersama Perth Glory, Isnin ini.
Bagaimanapun, Zouma tidak berada dalam senarai persiapan Chelsea kerana tidak bersama pasukan.
Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini diketepikan selama sembilan bulan kerana kecederaan lutut yang dialaminya sejak dua tahun lalu.
Pertahanan Perancis itu berjaya menampilkan aksi cemerlang sepanjang tempoh pinjaman di Stoke, musim lalu tetapi gagal membantu pasukan itu untuk terus kekal di dalam Liga Perdana Inggeris.
Seperti dijangka, pemain baharu mereka, Jorginho berada dalam senarai pasukan bersama Alvaro Morata, David Luiz , Cesc Fabregas dan Tiemoue Bakayoko.
Danny Drinkwater yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan turut bersama pasukan untuk aksi di Australia.
Sarri akan memulakan aksi pra musim tanpa kehadiran penjaga gawang, Thibaut Courtois dan Willy Caballero yang kini sedang bercuti selepas aksi Piala Dunia.-AGENSI










