MAS mahu beli 9 pesawat Boeing 737 MAX - Utusan Malaysia

MAS mahu beli 9 pesawat Boeing 737 MAX

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Julai – Malaysia Airlines Bhd. sedang mendapatkan pinjaman bank bagi membeli sembilan buah pesawat Boeing 737 MAX yang akan menjadi pembiayaan pertama syarikat penerbangan itu sejak melaksana­kan penstrukturan semula lebih tiga tahun lalu, menurut sumber yang tidak asing dengan perkara tersebut.

Pembiayaan itu merupakan ujian utama bagi syarikat pe­ner­bangan berkenaan yang telah diambil alih oleh Khazanah Nasional Bhd. pada Disember 2014, beberapa bulan selepas peristiwa kehilangan MH370 dan MH17 ditembak jatuh di Ukraine.

Sumber daripada industri kewangan yang enggan dikenali berkata, bank-bank di Malaysia, Eropah dan China dijangka bersaing untuk membiayai pembelian pesawat terbabit selepas Malaysia Airlines menghantar permintaan untuk cadangan beberapa ming­gu lalu.

Semua pesawat tersebut dinilai dengan harga sekitar AS$1 bilion (RM4.07 bilion), namun syarikat penerbangan kebiasaannya akan mendapat diskaun yang besar daripada pengeluar.

Malaysia Airlines dan Kha­zanah bagaimanapun tidak mem­berikan maklum balas segera mengenai perkara itu ketika diminta mengulas oleh Reuters.

Walaupun persekitaran pembiayaan penerbangan kekal kukuh, sumber berkata, prestasi operasi Malaysia Airlines yang lemah de­ngan potongan oleh bank dalam pajakan kewangan dan operasi ketika syarikat penerbangan itu melaksanakan penstrukturan semula mungkin menjadikan bank lebih berhati-hati.

Sumber berkata, permintaan untuk cadangan itu adalah bagi pesawat yang akan diterima oleh Malaysia Airlines dalam tempoh beberapa tahun akan datang di bawah pajakan pembiayaan.

Malaysia Airlines telah menghentikan pajakan operasi bagi pesawat badan lebar sejak penstrukturan semula, tetapi ini adalah kali pertama ia cuba mendapatkan pembiayaan dengan pemberi pinjaman, kata sumber. Syarikat itu mempunyai pesanan seba­nyak 25 buah pesawat 737 MAX bersama Boeing.

Sumber berkata, sebuah ins­titusi kewangan di Jepun yang dahulunya penyokong Malaysia Airlines berkemungkinan tidak akan mengambil bahagian kerana kekangan berkaitan kerugian syarikat penerbangan itu selama bertahun-tahun.

Bulan lepas, Malaysia Airlines berkata, ia kurang berjaya berbanding sasaran pada 2017 dan sedang bersedia untuk ‘tahun yang sukar’ disebabkan oleh persaingan, turun naik kadar pertukaran dan kenaikan harga minyak. Ia menjangkakan prestasi yang lebih baik tahun ini dan menyasarkan keuntungan yang mapan pada 2019.

Lebihan kapasiti dalam pasaran utama dan persaingan agresif daripada AirAsia Bhd. dan Singapore Airlines Ltd. bersama harga minyak yang tinggi telah menghalang pelan pemulihan Malaysia Airlines, kata sumber itu. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN