LONDON 17 Julai – Eden Hazard digesa agar memenuhi impiannya dengan meninggalkan Chelsea untuk Real Madrid.
Bintang sayap Belgium itu bakal mencetuskan ‘peperangan’ perpindahan pemain yang melibatkan perbelanjaan besar selepas pada hujung minggu lepas mengakui dia telahpun menolak untuk menandatangani perjanjian baharu di Stamford Bridge dengan tawaran gaji 300,000 pound (RM1.60 juta) seminggu.
Roberto Martinez, jurulatih skuad kebangsaan negaranya yang meluangkan masa bersama Hazard sejak enam minggu lalu percaya pemain itu perlu menyertai Real yang sekian lama mengagumi pemain itu dan memerlukan pengganti kepada Cristiano Ronaldo yang berpindah kepada Juventus.
“Pemain memerlukan cabaran dan projek baharu. Mungkin inilah masanya untuk Chelsea dan Eden berpisah. Memang mengejutkan jika Chelsea tidak meletakkan harga yang tinggi untuknya pada ketika ini,” kata Martinez.
Pemenang Piala FA itu yakin sama ada Real ataupun Barcelona berkemampuan untuk memenuhi tuntutan harga sebanyak 200 juta pound (RM1.06 bilion) yang diletakkan Chelsea. Hazard kini hanya memiliki baki kontrak selama dua tahun.
“Ini mungkin masa terbaik untuk Hazard mencuba sesuatu yang berbeza. Dia seorang pemain yang matang dan memiliki sikap seorang pemimpin. Dia seorang pemain berbakat.
“Hazard mampu memulakan projek baharu di mana-mana sahaja di dunia. Dia kini berada pada prestasi terbaik dalam kariernya. Dia boleh menyesuaikan diri dengan mana-mana pasukan di dunia,” kata Martinez kepada sebuah program radio Cadena Ser, ‘El Larguero’.
Walaupun bos baharu Chelsea, Maurizio Sarri mahu pemain baharu dibawa masuk, dia bersetuju dengan kelab bahawa Chelsea perlu membentuk pasukan di sekeliling Hazard.
Dengan pintu perpindahan hanya berbaki tiga minggu sebelum musim bermula, Blues tidak bersedia kehilangan tonggak mereka itu yang mempamerkan persembahan mengagumkan dalam Piala Dunia.
Namun, selepas kemenangan Belgium ke atas England untuk menamatkan saingan di kedudukan ketiga Sabtu lalu, Hazard mengesahkan bahawa dia sedang mempertimbangkan tentang masa depannya. – AGENSI










