Marquez ‘menggila’ pada GP Jerman - Utusan Malaysia

Marquez ‘menggila’ pada GP Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOHENSTEIN – Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dilihat tiada pencabar dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini apabila terus meraih kemenangan pada Grand Prix (GP) Jerman malam tadi.

Marquez yang bermula di petak pertama beraksi baik apabila mendahului sepanjang perlumbaan dengan merekodkan catatan 41 minit 5.019 saat untuk muncul juara di Litar Sachsenring.

Pelumba Sepanyol itu ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila meraih kemenangan keenam berturut-turut di Litar Sachsenring sejak beraksi dalam kelas perdana pada tahun 2013.

“Bagi saya, perlumbaan hari ini sangat mencabar kerana pada awal perlumbaan, saya gagal bermula dengan baik sehingga kehilangan dua posisi di belakang. Saya akui sukar untuk memintas pelumba Ducati.

“Namun, saya terus bekerja keras untuk kekalkan kedudukan pertama. Saya lihat Rossi cuba memberi tekanan kerana ketika itu saya cuba untuk mengawal tayar agar kekal mencengkam sehingga akhir saingan.

“Enam kemenangan berturut-turut di Litar Sachsenring memang sangat luar biasa dan saya gembira dengan prestasi ketika ini,” katanya.

Tempat kedua dan ketiga men­jadi milik pasukan Movistar Yamaha selepas kedua-dua pelumbanya, Va­lentino Rossi dan Maveric Vinales menamatkan saingan di kedudukan satu-dua selepas berjaya mengatasi pelumba Ducati, Danilo Petrucci pada pusingan terakhir.

Jorge Lorenzo pula hampir menaiki podium, namun terpaksa menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas berdepan masalah tayar ketika perlumbaan berbaki tujuh pusingan.

Hasil kemenangan tersebut, Marquez terus mengemudi carta kedudukan pelumba apabila selesa di depan dengan mengumpul 165 mata, sekali gus meninggalkan Rossi­ di tempat kedua yang dibezakan 46 mata. Vinales menghuni kedudukan ketiga selepas me­ngumpul 109 mata. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×