Maritim Malaysia tahan nelayan memukat di kawasan larangan - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan nelayan memukat di kawasan larangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 26 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 0.1 batu nautika tenggara Pulau Balar, dekat sini semalam kerana melanggar syarat lesen.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, pihaknya menahan bot kelas A tersebut kira-kira pukul 4.56 petang kerana didapati memukat bilis kurang 1 batu nautika dari pantai.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong bersama 29 awak-awak warganegara Thailand berada di atas bot tersebut.

“Siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kemudian bot tersebut ditahan serta dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk tindakan lanjut” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya komited dalam usaha membanteras aktiviti nelayan yang melanggar undang-undang dan turut mengharapkan kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat berkaitan.

Sementera itu tegasnya, nelayan dinasihatkan mengambil berat faktor keselamatan di laut, terutama ketika berhadapan dengan musim hujan dan laut bergelora dan penggunaan jaket keselamatan amatlah penting bagi mengelakkan sebarang kecelakaan di laut.

“Sebarang aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN