MASUK tahun ini sudah tiga tahun musim haji jatuh ketika cuaca panas di Arab Saudi. Walaupun panasnya yang mencecah 46 darjah Celsius tidak setinggi tahun lepas iaitu 52 darjah Celsius yang direkodkan pada hari wukuf, namun ia akan memberi kesan kepada tahap kesihatan segelintir petugas haji yang sudah memasuki Madinah dan Mekah.
Kulit kering mengelupas dan batuk antara masalah kesihatan paling umum dihadapi akibat cuaca sedemikian. Namun, ‘kejutan’ paling tidak disangka apabila terpaksa mandi air panas dalam keadaan suhu berbahang.
Jika di Malaysia sudah terbiasa mandi dengan air yang segar untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas, namun lain keadaannya di Madinah ketika ini. Mandi pun sudah tak lalu mengenangkan air panas yang boleh menghilangkan kelembapan kulit.
Bagi petugas haji yang kini menginap di Ibu Pejabat Tabung Haji Madinah, Dar Aljiffry, keadaan itu dihadapi setiap ketika siang dan malam. Ini kerana cuaca di Madinah ketika ini adalah antara 40 hingga 46 darjah Celsius pada waktu siang manakala malam mencecah 34 darjah Celsius.
Bagi jemaah haji Malaysia, cabaran ini perlu dilalui sepanjang musim haji ini. Oleh itu, buatlah persiapan sewajarnya sebelum datang, beli krim yang sesuai dan minta nasihat doktor tentang hal ini jika memang menghadapi masalah kesihatan.
Justeru Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurinanuwar Shamsuddin mengingatkan jemaah haji agar menjaga kesihatan supaya ibadah haji tidak terganggu. Mereka dinasihatkan supaya membiasakan diri dengan cuaca panas di sini terlebih dahulu dan tidak tergesa-gesa untuk melakukan apa-apa aktiviti.
Bila sampai berehat dahulu, segarkan diri dan jangan dedahkan diri kepada cuaca panas. Jangan ambil makanan yang terdedah dan jaga kesihatan,” katanya kepada petugas media di sini.
Dapatkan maklumat tentang kesan cuaca panas kering terhadap tubuh supaya jika penyakit disebabkan kepanasan melanda, jemaah maklum mengenainya dan mendapatkan rawatan sewajarnya.
Jangan apabila otot kejang disangka letih akibat banyak berjalan atau buat umrah sedangkan itu simptom peringkat pertama penyakit disebabkan kepanasan. Jika keadaan itu dibiarkan jemaah mungkin dilanda kepenatan diiringi rasa loya, pening dan mahu muntah seterusnya terkena strok haba.
Ada satu teknik yang perlu diketahui oleh jemaah untuk mengekalkan air dalam badan iaitu minum air kosong sedikit-sedikit tetapi kerap. Selain menyejukkan badan, cara itu juga dapat mengelakkan masalah kerap buang air kecil yang boleh mengganggu ibadah.
Paling penting ikut nasihat Tabung Haji, kurangkan aktiviti luar pada waktu siang terutama membeli-belah, sebaliknya banyakkan beriktikaf di dalam masjid kerana selain nyaman dengan pendingin hawa, itu pun tujuan kita ke sini iaitu untuk beribadah.










