MACAM-MACAM keluhan, hipotesis, analisis atau segala macam ‘mak nenek’ diterima atau hinggap di telinga Tumpang lalu tentang punca-punca mengapa parti politik tertentu tewas dalam pilihan raya umum tempoh hari. Mengia pun tidak, menafikan pun tidak. Tumpang lalu dengar sahaja. Hadam dalam hati dan balik ke pejabat buat kesimpulan sendiri. Kadang-kala di tengah kepekatan malam, Tumpang lalu merenung sendiri. Ada ketikanya logik, ada benda pula yang Tumpang lalu terpaksa pulang paku buah keras.
![]() |
|
NOORAZLI SAID
|
Tetapi baru-baru ini, lebih kurang satu setengah bulan selepas Pakatan Harapan menang pada 9 Mei lalu, sempat juga Tumpang lalu menghubungi melalui telefon satu dua orang muda UMNO yang menang dalam pemilihan bahagian untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mereka tentang hala tuju masa depan UMNO.
Antaranya, Noorazli Said, yang dari Ketua Pemuda Bahagian Sepang meloncat ke jawatan Ketua UMNO Bahagian Sepang dalam usianya 39 tahun. Noorazli menceritakan banyak perkara sehingga beberapa kali telefon bimbit Tumpang lalu terpaksa menolak panggilan luar dalam perbualan hampir sejam itu. Namun, Tumpang lalu petik beberapa
![]() |
|
ANWAR IBRAHIM
|
point yang agak menarik untuk dikongsikan dalam kolum pojok ini.
Antara luahan hati Noorazli:
1. Rindukah politik khidmat bakti UMNO?
* Saya nak bangkitkan tentang politik khidmat bakti UMNO. Contohnya, Abu yang berperanan sejak lima tahun jaga sebuah kampung di Sepang. Kalau ada penduduk yang sakit demam, Abu lah yang prihatin pada kebajikan mereka. Sakit pening Abu jengokkan. Tapi disebabkan Abu ini orang UMNO dan kebanyakan anak penduduk yang berada di luar Sepang (kerana bekerja, belajar atau bermastautin) sudah terpengaruh/menyokong dan kemudian balik mengundi Pakatan Harapan, akhirnya UMNO di Sepang kalah.
Keadaan inilah yang berlaku di Sepang. Adakah kekalahan YB ADUN Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif dalam PRU-14 disebabkan hal yang saya bangkitkan tadi? Sebutlah di mana kelibat Shahrum tidak ada di Dengkil? Ziarah rumah terbakar? Menyumbang kepada mangsa? Tanyakan sakit pening mereka?
Rata-rata kebanyakan rumah di Dengkil sudah merasai khidmat bakti beliau. Tapi pada 9 Mei lalu, beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sepang waktu itu kalah kepada calon PKR DUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang turut menewaskan calon Pas, Yusmi Haniff Ariffin dengan majoriti 6,934 undi.
Adakah anak-anak orang Dengkil yang tinggal di luar Dengkil telah lupa jasa Shahrum yang amat rapat dengan orang tua mereka?
Kita tahu Pakatan Harapan tidak ada politik khidmat bakti macam UMNO. ‘Khidmat Bakti’ mereka kebanyakannya berpaksi dan bersentimenkan FB (Facebook). Hari ini Mohamed Hanipa Maidin (PKR) yang ‘diisytiharkan sebagai orang hilang di Sepang’ pun boleh menang (menewaskan calon BN, Datuk Marsum Paing dengan majoriti 18,705 undi).
Yang saya risaukan ialah apabila anak-anak penduduk Dengkil ini pulang ke Kuala Lumpur atau tempat mereka tinggal/bekerja di bandar, siapa nanti yang akan mereka harapkan untuk jenguk orang tua mereka yang tinggal berdua/bersendirian di kampung? Dulu, UMNO yang rajin buat kerja khidmat bakti ini. Sekarang, nak harapkan siapa?
Situasi di Dengkil ini berlaku di mana-mana tempat sekarang. Dulu kata UMNO kuat pengaruhnya di kampung tapi sekarang kampung-kampung tidak lagi menjadi ‘deposit tetap’ atau fix deposit UMNO. Bila anak-anak mereka dari luar balik, mereka undi parti bukan UMNO. Apa nak dikatakan lagi.
2. Mengapa balik kampung mengundi
* Tempat mengundi sepatutnya berdasarkan kawasan pengundi tinggal. Kalau tidak, cacatlah sedikit sistem demokrasi itu.
Contohnya di Kelantan, barangkali penduduk/pengundi di sana mahukan BN, tapi rakyat Kelantan di luar negeri itu mahukan parti lain, akhirnya undi mereka mengatasi penduduk yang tinggal di negeri itu. Jika dilihat dari khidmat bakti pun, pengundi berhak memperoleh khidmat wakil rakyat dalam kawasan tempat tinggalnya. Macam bayar zakat fitrah juga, adalah lebih elok membayarnya di negeri tempat kita bekerja atau tinggal.
3. Lebih banyak Rafizi diperlukan
* UMNO perlu menjadi wadah mempertahankan Melayu dan Islam. Hari ini mahu tak mahu kena akui rakyat semakin bijak. Nak dapatkan satu undi pun bukan senang. UMNO kena agresif dan bijak sebagai pemain politik era Malaysia Baharu ini. Dulu Rafizi Ramli ajak orang berfikir dengan tunjukkan angka walaupun angka-angka itu agak diragui. Tetapi ada logik di situ. Adakah UMNO perlukan lebih banyak Rafizi lagi.
Tetapi berdasarkan senario pemilihan parti tempoh hari, nampaknya UMNO semakin kurang mengetepikan bakat-bakat baharu. Contohnya Shahril Sufian Hamdan, biarpun kalah di Parlimen Kuala Langat, tapi beliau antara contoh anjakan paradigma yang berbeza sedang diambil UMNO sekarang.
4. Kalau UMNO nak menang, parti itu perlu penjenamaan semula. Lihat saja di Selangor, menteri besarnya (ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari) baru mencecah 38 tahun. Maka kalau letakkan pengerusi perhubungan UMNO negeri orang lama, dikhuatiri dari segi tenaga, fitness tak seimbang nanti.
5. Walaupun sebelum ini macam-macam didengar tentang Anwar, orang PKR masih tetap pilih beliau sebagai Ketua Umum. Begitu juga UMNO. Kita ada tanggungjawab kepada 3.6 juta ahli.
UMNO sudah melalui pemilihan demokrasinya. Siapa pun pemimpin UMNO hari ini kita perlu beri walak kepadanya. Kalau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, maka kita beri walak itu kepadanya.
Sama juga halnya dengan walak Rafizi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tetap Rafizi kata beliau (Anwar) tidak bersalah.
Waima apa pun dikatakan oleh Noorazli, Tumpang lalu hadam sahajalah selaku pemerhati. Akhirnya setelah lebih 10 panggilan luar tidak dijawab, Tumpang lalu terpaksa hentikan perbualan dengan Noorazli, sambil bertanyakan komennya, mampukah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggantikan UMNO?
Jawab Noorazli:
“UMNO saya percaya masih ada harapan. Dengan 51 kerusi parlimen atau katakanlah paling sikitpun 48 kerusi andai ada yang masih nak lompat, UMNO masih kukuh bilangan kerusinya. “Cuma yang saya sebutkan tadilah, andai mahukan perubahan, nescaya tidak mustahil pada PRU-15 nanti, UMNO masih boleh bersaing hebat.
“UMNO perlu cerdik dalam melontarkan isu berkepentingan rakyat dan ia harus berterusan atau sambung menyambung.”












