Mampukah MIC beri nafas baharu? - Utusan Malaysia

Mampukah MIC beri nafas baharu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIC baru sahaja melantik Tan Sri S. A. Vigneswaran yang berusia 53 tahun sebagai presiden parti yang ke-10. Beliau menang tanpa bertanding. Vigneswaran pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam hierarki parti berkenaan seperti Ketua Pemuda MIC kebangsaan dan Naib Presiden MIC. Beliau juga pernah dipilih sebagai ahli Parlimen dan pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Parlimen. Pada masa kini, beliau memegang jawatan sebagai Speaker Dewan Negara.

S.A. VIGNESWARAN

Sejarah menunjukkan bahawa MIC ditubuhkan apabila semangat nasionalisme bangkit dalam kalangan orang India untuk membebaskan negara India daripada penjajahan British, terutamanya dalam era penaklukan dan pentadbiran negara ini (Malaya) oleh tentera Jepun pada 1942 hingga Ogos 1945. Pasukan Tentera Nasional India atau Indian National Army (INA), yang ditubuhkan pada zaman pentadbiran Jepun dilaporkan telah banyak mendorong kaum India di negara ini menubuh MIC pada 1946.

Memandangkan MIC selaku parti yang mewakili kepentingan kaum India sukar mendapat sokongan daripada lain-lain kaum dalam medan politik berbilang kaum, maka kepimpinan MIC ketika itu membuat keputusan menyertai gagasan Perikatan, yang dianggotai oleh UMNO dan MCA pada 1954. Keputusan MIC dalam kepimpinan K.L. Devaser ketika itu dilihat sebagai satu langkah bijak, berstrategi malah berpandangan jauh demi kepentingan masa depan kaum India.

Sejak ditubuhkan pada 1946, MIC dipimpin oleh sembilan presiden. Presiden pertama ialah pengasas MIC, John A. Thivy (1946-47) dan diikuti oleh Sardar Budh Singh (1947-50), K. Ramanathan (1950-51), K.L.Devasar (1951-1955), V.T. Sambanthan (1955-1973), V. Manic­kavasagam (1973-79), S. Samy Vellu (1979-2010), G. Palanivel (2010-15) dan Dr. S. Subramaniam Sathasivam (2015-2018).

MIC telah melalui perjalanan politik yang berliku menempuh pelbagai cabaran, rintangan dan kekalutan termasuk kemelut kepimpinan yang hampir melumpuhkan parti ini. Malah pada satu ketika, bekas Timbalan Perdana menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, pernah me­nyifatkan MIC seperti ‘hidup segan mati tidak mahu’.

Medan politik kaum India juga tidak terlepas daripada kemunculan pelbagai parti serpihan yang ditubuhkan oleh pihak-pihak yang kecewa dengan ke­pimpinan MIC. Antara parti serpihan yang ditubuhkan adalah parti Malaysia Democratic Indian Congress (DMIP) pada 1985, parti Indian Progressive Front (IPF) pada 1991 dan parti Malaysia Indian Democratic United pada 2007. Namun, kemunculan parti-parti ser­pihan dalam kalangan kaum India didapati tidak mampu menggugat MIC, malah MIC di­catatkan menang 100 peratus dalam pilihan raya umum pada 1999, 1995 dan 2004.

Namun, mulai 2007, pengundi India yang dipe­ngaruhi oleh dakwaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), kononnya kaum India terpinggir dalam arus perdana pembangunan negara, dilaporkan menolak MIC sekali gus BN. Keputusan Pilihan Raya Ke-12 (PRU-12) menunjukkan hampir 85 peratus pengundi India menolak calon-calon MIC/BN. Sokongan pengundi India kepada pembangkang telah menyebabkan MIC kalah teruk malah BN hilang majoriti 2/3 dalam parlimen. Samy Vellu undur selepas menjawat jawatan pre­siden MIC hampir 30 tahun.

Seterusnya, Datuk Seri G.Palanivel mengambil alih kepimpinan MIC pada 2010. Namun, beliau terpaksa undur daripada kepimpinan parti dalam masa yang singkat kerana MIC bergelut dengan krisis kepimpinan dalam parti. Dr. Subramaniam mengambil alih kepimpinan parti pada 25 Jun 2015.

Dalam pada itu, MIC kepimpinan Dr. Subramaniam menjangka dan berharap sebahagian besar kaum India akan menyokong MIC sekali gus BN pada PRU-14 kerana penubuhan SEDIC dan Pelan Malaysian India Blue Print yang dilancarkan oleh kerajaan BN untuk membantu membangun kaum India.

Sebaliknya, jangkaan mereka meleset sama sekali kerana hampir lebih 85 peratus pengundi India menolak MIC dan BN pada PRU-14 baru-baru ini. Ini bukan sahaja menyebabkan MIC kalah teruk malah BN hilang Putrajaya kepada Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia. Perubahan mengejut dalam senario politik ini dilaporkan mendorong Dr. Subramaniam buat keputusan tidak mempertahankan jawatannya sebagai presiden MIC.

Persoalannya, apakah kepimpinan baharu dapat memberi nafas baharu kepada ahli-ahli MIC yang hampir hilang semangat untuk meneruskan perjuangan membela kaum India, lebih-lebih lagi dalam senario politik kerajaan PH melaung-laungkan bukan sahaja mewakili malah membela kepentingan semua kaum di bawah gagasan Malaysia Baharu?

Apa pun, ahli-ahli MIC yang masih setia dengan perju­angan MIC sekali gus BN berharap agar Vigneswaran, me­nunjukkan ketrampilannya dalam menghadapi cabaran baharu untuk mengembalikan kegemilangan era MIC.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN