Malu surau di 1st Avenue Mall daif - Utusan Malaysia

Malu surau di 1st Avenue Mall daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, BARU-BARU ini saya dan keluarga berkunjung ke 1st Avenue Mall yang terletak di Jalan Magazine, Georgetown, Pulau Pinang.

SURAU di pusat beli-belah 1st Avenue Mall di Georgetown, Pulau Pinang. GAMBAR IHSAN PENULIS

Dari segi fizikal dan kepelbagaian kedai di pusat beli-belah bersebelahan Komtar dan Prangin Mall itu, tiada komen negatif daripada saya.

Bagaimanapun, ketika ke surau yang terletak di tempat letak kereta di tingkat lima untuk menunaikan solat, saya cukup kecewa dan kesal.

Nampak begitu daif, seolah-olah diabaikan dan tidak dijaga.

Sudahlah bersaiz kecil, tempat mengambil wuduk pula berbau kurang menyenangkan dengan lantai kotor dan licin seperti tidak pernah dicuci, hampir menyebabkan saya tergelincir.

Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa tandas di pusat beli-belah yang gah itu lebih cantik dan bersih berbanding surau berkenaan.

Timbul persoalan, adakah pengurusan 1st Avenue Mall sekadar menyediakan surau tersebut sebagai memenuhi syarat pihak berkuasa sahaja? Tiada langsung sifat bertanggungjawab dan keikhlasan.

Sebagai rakyat Malaysia, saya malu sekiranya pelancong asing menunaikan solat di surau daif terbabit, tidak mencerminkan langsung Islam adalah agama rasmi negara ini.

Saya tidak pasti, adakah keadaan sama akan saya lihat jika berkunjung ke surau itu pada masa depan?

Jika benar, malanglah buat masyarakat Islam Pulau Pinang.

INSAN PRIHATIN

Salak Tinggi, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN