KUALA LUMPUR – Malaysia akan menghantar wakil rasmi ke Singapura bagi membincangkan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) menjelang hujung bulan ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Saya sedang berkomunikasi dengan rakan sejawat di Singapura. Minggu lalu, saya diberikan taklimat oleh Peguam Negara dan menyerahkan kes berkenaan (kepada kabinet) pada Rabu.
“Kami akan bertemu dengan rakan sejawatan saya di Singapura tidak lama lagi dan akan membincangkan perinciannya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Pelaburan Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) 2018 di sini hari ini.
Mohamed Azmin berkata, pengumuman berkenaan perkara itu akan dibuat minggu ini.
Terdahulu, ketika berucap beliau berkata, jumlah dagangan antara Malaysia dan EU meningkat 25.1 peratus tahun ke tahun pada April kepada RM16.15 bilion, berjumlah 10.4 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia.
Eksport berkembang 19.5 peratus tahun ke tahun manakala import meningkat 32.8 peratus kepada RM7.22 bilion, katanya.
Berkenaan pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata, EU merekodkan jumlah FDI sebanyak RM107 bilion pada suku pertama 2018, manakala Malaysia sudah melabur sebanyak RM59 bilion di Eropah, kebanyakan dalam sektor perkhidmatan bernilai RM35.3 bilion.
Mohamed Azmin berkata, Malaysia akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih banyak FDI berkualiti pada masa hadapan, terutama pelaburan dalam kemudahan baharu yang akan memberikan sumbangan kepada pembentukan nilai sebenar dan memacu produktiviti serta inovasi yang melengkapi ekosistem perniagaan negara.
“Kami mahu menyaksikan penubuhan loji pengeluaran dan kilang. Kita juga mahu menyaksikan pemindahan teknologi, penjanaan peluang pekerjaan selain perusahaan kecil dan sederhana menggerakkan rantaian nilai,” tambahnya. – Bernama










