Malaysia mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana – TPM - Utusan Malaysia

Malaysia mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ULAANBAATAR 4 Julai – Malaysia telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana (DRR) ke dalam agenda pembangunannya bagi melin­dungi pelaburan masa depan di negara itu, satu persidangan me­ngenai DRR diberitahu di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) di sini berkata, kesan perubahan iklim yang semakin meningkat dirasai di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Berkongsi pengalaman Malaysia semasa menyampaikan Kenyataan Menteri pada AMCDRR, Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, pada tahun-tahun kebelakangan ini, pendedahan Malaysia terhadap pelbagai bencana berkaitan iklim seperti banjir, banjir kilat, tanah runtuh dan angin kencang telah meningkat, sebahagiannya disebabkan perubahan iklim.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sumber yang cukup banyak telah disediakan untuk mengurangkan faktor-faktor risiko yang mendasari dan mempromosikan pembangunan mampan dalam pelan pembangunan utama negara – Rancangan Malaysia Lima Tahun,” kata Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam Rancangan Malaysia ke-11, meliputi tempoh 2016 hingga 2020, usaha berkaitan tebatan banjir akan terus dipertingkatkan, dengan mengambil kira kekuatan dan kekerapan kejadian cuaca yang melampau, menerusi pengenalan penyelesaian yang inovatif, katanya.

Wan Azizah juga membe­ritahu ACMDRR bahawa Malaysia telah menubuhkan Panel Sains dan Teknikal mengenai DRR bagi menyediakan panduan saintifik berkaitan pengurusan risiko bencana untuk pertimbangan dasar dan untuk memberikan input berasaskan bukti bagi menyokong aktiviti operasi Platform Nasional untuk Pengurangan Risiko Bencana.

“Pengurangan risiko bencana akan berjaya dengan penerapan sains dan teknologi yang berkesan untuk menyokong proses membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga telah membangunkan Ranca­ngan Sains, Teknologi dan Inovasi untuk DRR bagi menangani jurang pengetahuan secara menyeluruh dan sistematik mengenai bahaya semasa dan baru muncul di negara itu, termasuk mengambil pendekatan bersepadu untuk pengurangan risiko bencana dan penyesuaian perubahan iklim, bagi memastikan pembangunan mampan.

“Pelaksanaan Rancangan itu, yang kini sedang menunggu pengesahan oleh kerajaan, memerlukan komitmen daripada banyak pihak berkepentingan,” ka­tanya.

Wan Azizah menegaskan bahawa menangani cabaran bahaya gempa bumi juga amat penting di Malaysia.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membangunkan Malaysian Standard (MS), untuk semua pembangunan masa depan bagi memastikan bangunan-ba­ngunan adalah tahan kepada gempa bumi dan disokong oleh Peta Bahaya Gempa Bumi Kebangsaan bagi memudahkan pelaburan bermaklumat dalam negara.

Katanya standard ini telah digunakan di kawasan yang mempunyai kecenderungan berlaku gempa bumi di Sabah.– BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN