Malaysia kekal dahului pasaran sukuk global - Utusan Malaysia

Malaysia kekal dahului pasaran sukuk global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Julai – Malaysia masih mendahului dari segi jumlah terbitan dan pembiayaan sukuk bernilai AS$19.4 bilion (RM78.24 bilion) setakat hujung Jun, menguasai sebanyak 38.7 peratus pasaran di peringkat glo­bal.

RUSLENA RAMLI
RUSLENA RAMLI

Ketua Kewangan Islam RAM Ratings, Ruslena Ramli berkata, Malaysia telah meningkatkan terbitan dan pembiayaan sukuknya itu berbanding AS$18.6 bilion (RM74.99 bilion) pada tempoh sama tahun lepas.

“Secara keseluruhan, pasaran sukuk yang diperlihatkan pada tahun ini akan bergantung kepada prestasi ekonomi global dan keadaan pemulihan pelaburan di negara-negara kewangan Islam utama,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ruslena berkata, di peringkat global, terbitan sukuk telah me­nu­run sebanyak 5.2 peratus setakat hujung Jun daripada pencapaian tempoh sama tahun lepas AS$53 bilion (RM213.69 bilion).

“Terbitan sukuk yang lebih rendah bagi separuh pertama 2018 ini sebahagian besarnya dise­babkan penurunan dalam terbitan di Qatar (-63.6 peratus), Arab Saudi (-37.9 peratus) dan Turki (-18 peratus),” katanya.

Walau bagaimanapun menurut beliau, RAM Ra­tings mengekalkan unjuran terbitan sukuk global bagi tahun ini antara AS$75 bilion (RM302.39 bilion) dan AS$85 bilion (RM342.71 bilion.

“Jangkaan ini berdasarkan kepada trend pertumbuhan dalam terbitan sukuk di Malaysia, Indonesia, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) setakat enam bulan pertama 2018,” ujar­nya.

Dalam pada itu beliau berkata, Indonesia mencatatkan peningkatan terbitan sukuk sebanyak 52.6 peratus kepada AS$6.6 bilion (RM26.61 bilion) setakat Jun tahun ini.

“Sebagai perbandingan, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merekodkan penurunan terbitan sukuk sebanyak 19.1 peratus kepada AS$21.3 bilion (RM85.88 bilion),” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN