KUALA LUMPUR – Malaysia Baharu, label yang kini popular digunakan untuk menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sepatutnya ‘pastinya lebih baik’ daripada pentadbiran sebelum ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Malah, Malaysia Baharu adalah penambahbaikan terhadap tempoh sepanjang saya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun,” katanya dalam temu bual dengan Investvine, portal berita perniagaan yang berpangkalan di Hong Kong.
Mahathir berkata, Malaysia Baharu bermaksud kerajaan akan kembali kepada demokrasi dan kedaulatan undang-undang dan menghormati kehendak rakyat.
“Mereka telah menunjukkan bahawa mereka tidak suka kerajaan sebelum ini dan sudah tentu kami perlu mengambil tindakan pembetulan untuk membawa negara kembali kepada organisasi terdahulu. Pada masa lalu, kakitangan awam, misalnya, tidak terbabit dalam politik.









