KOTA BHARU 15 Julai – Kerajaan Pas Kelantan akui semangat Malaysia Baharu akan memberi manfaat besar kepada negeri ini dalam pelbagai segi termasuk dari sudut pelaburan.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, hubungan antara agensi Kerajaan Pusat kini di bawah Pakatan Harapan dengan kerajaan negeri semakin baik berbeza semasa kerajaan terdahulu.
Malah, Hanifa berkata, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini sendiri mengarahkan semua Exco dan pegawai berkaitan peringkat negeri mewujudkan hubungan rapat dengan Menteri di peringkat pusat.
“Kita yakin hubungan itu dapat kita buat dan dengan adanya semangat Malaysia Baharu ia akan jadi lebih baik.
“Malah kita sudah dapat lihat sekarang pegawai-pegawai Kementerian makin rapat, kalau dahulu mereka takut untuk mendekati kita tetapi sekarang ini tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 43 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) negeri, Nik Mohd Fahim Muhaimin dan Yang Dipertua DPMM negeri, Mohd Ali Amin Ab Latif.
Hanifa berkata demikian ketika diminta mengulas peluang pelaburan masuk ke negeri ini dengan ketiadaan wakil Menteri dari Kelantan khususnya dalam portfolio perdagangan dalam Kabinet.
Dalam pada itu, Hanifa berkata, kerajaan negeri akan menumpukan kepada pelaburan dalam sektor pembuatan iaitu perabot dan ‘semi-product’ yang dijangka boleh menambah hasil negeri dari 20 peratus hingga 30 peratus setahun.
“Kita tidak mahu bergantung kepada hasil eksport bahan mentah semata-mata, kita mempunyai lebihan kayu yang banyak yang boleh kita jadikan perabot untuk eksport, begitu juga penghasilan palet besi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










