ALOR SETAR – Penemuan sebuah makam diraja dengan sepasang nisan purba di Kampung Bukit Berangan, Kota Kuala Muda dekat sini baru-baru ini bukan kubur Merong Mahawangsa.
Ketua Penyelidik Projek Kajian Kesan Peninggalan Sejarah Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas Universiti Utara Malaysia (UUM), Syamsyul Anuar Ismail sebaliknya berkata, makam tersebut dipercayai milik Sultan Kedah yang pertama iaitu Sultan Mudzafar Shah I.
Merong Mahawangsa dakwanya adalah merupakan nenek moyang Sultan Mudzafar Shah I.
“Penulisan sejarah Kedah boleh dirujuk kepada dua sumber utama iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Hikayat Merong Mahawangsa.
“Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ini ditulis oleh Muhammad Hassan Dato Kerani Muhammad Arshad pada tahun 1928 iaitu pada zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah manakala Hikayat Merong Mahawangsa adalah merupakan sebuah karya sastera sejarah yang lebih bersandarkan kepada cerita mitos dan dipercayai ditulis pada kurun ke-19,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.










