Majlis agama negeri tidak beraja disaran di bawah YDP Agong - Utusan Malaysia

Majlis agama negeri tidak beraja disaran di bawah YDP Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Julai – Kedudukan majlis agama Islam bagi Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri yang tidak beraja disarankan diletakkan di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim), Profesor Datuk Mahamad Nasir Disa berkata, saranan itu dibuat kerana institusi-institusi agama seperti mahkamah syariah dan pejabat mufti ketika ini berada di bawah naungan sama ada Kementerian Wilayah Persekutuan atau kerajaan negeri masing-masing.

Katanya, kedudukan majlis agama jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3 Fasal (5) yang menetapkan bahawa majlis agama Wilayah Persekutuan diwujudkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Hal ehwal agama bukanlah subjek yang boleh digunakan ahli-ahli politik untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa prerogatif dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu terkecuali daripada dinasihati orang politik disebabkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam.

“Jadi institusi-institusi agama Islam tidak boleh duduk di bawah kementerian sebaliknya di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak mahu pandangan ahli politik yang bercanggah dengan Islam menjejaskan kedaulatan Islam terus berlaku, kita mahu ia dilindungi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat anjuran Sekretariat Pembela Islam (SPI) yang disertai 50 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti pendidik, pendakwah dan ilmuan Islam dari seluruh negara.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN