Majikan disaran wujudkan taska di tempat kerja - Utusan Malaysia

Majikan disaran wujudkan taska di tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Julai – Pihak swasta disaran untuk mewujudkan taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja bagi membantu pekerja masing-masing mengatasi masalah penjagaan anak ketika bekerja.

MOHD. FAZARI MOHD. SALLEH
MOHD. FAZARI MOHD. SALLEH

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia, Mohd. Fazari Mohd. Salleh berkata, selain itu, langkah yang sememangnya telah dilakukan oleh sebahagian majikan itu juga dapat membantu mencegah daripada berlakunya kejadian-kejadian buruk daripada menimpa anak-anak pekerja seperti yang dilaporkan berlaku ke atas bayi lelaki berusia 5 bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif kelmarin.


Mohd. Fazari menjelaskan, perkara ini dapat dicapai kerana taska-taska di tempat kerja terikat dengan peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 yang mewajibkan pusat-pusat asuhan berkenaan mematuhi syarat-syarat asas operasinya.

Tambah beliau, penubuhan taska-taska di tempat kerja juga membantu meningkatkan produktiviti pekerja kerana mereka tidak lagi perlu risau mengenai keselamatan anak-anak yang diletakkan di bawah jagaan pusat-pusat asuhan berkenaan.

“Para pekerja tidak lagi perlu bimbang mengenai isu keselamatan anak-anak kerana mereka boleh memantau keadaan taska-taska berkenaan dengan mudah disebabkan lokasinya yang hampir atau berada di kawasan tempat kerja masing-masing.


“Pun begitu, JKM tidak boleh memaksa majikan untuk mewujudkan taska-taska berkenaan. Langkah itu bergantung sepenuhnya kepada inisiatif pihak Majikan,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Fazari berkata, untuk jabatan-jabatan kerajaan, geran berjumlah RM200,000 boleh dimohon untuk mewujudkan taska-taska berkenaan.


Bagi Majikan Swasta pula, Lembaga Hasil Dalam Negeri memberikan kemudahan potongan cukai sebanyak dua kali kepada majikan yang menyediakan elaun atau subsidi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

Menurut beliau, turut diberikan sebagai insentif kepada pihak swasta ialah pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyelenggaraan, dan pemilikan bangunan untuk pewujudan taska di tempat kerja masing-masing.

Sehingga kini, mengikut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat 205 TASKA Tempat Kerja Sektor Awam dan 52 TASKA Tempat Bekerja Sektor Swasta yang sedang beroperasi.


Dalam masa, Mohd. Fazari memaklumkan, pihaknya sentiasa berterusan mengkaji kaedah atau insentif bersesuaian untuk dicadang dan digunapakai kerajaan bagi menggalakkan lebih banyak majikan untuk mewujudkan taska-taska di tempat kerja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN