RAHIM OMAR, 66, mewarisi ketegasan ayahandanya yang merupakan pegawai tentera yang pernah berkhidmat di bawah angkatan tentera British sewaktu era penjajahan British, kira-kira tahun 1960-an dahulu.
Beliau antara pelakon yang sempat merasai kehidupan di era penjajahan British sebelum Singapura dipisahkan dengan Tanah Melayu pada tahun 1965. Rahim yang ketika itu menetap di Johor Bharu, terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur ketika Kota Singa itu tidak lagi bersama Tanah Melayu.
“Ayah saya berasal dari Johor Bharu, berkhidmat sebagai tentera British. Ketika 1965, apabila Singapura terpisah dengan Malaysia, barulah ayah saya ditukarkan ke tentera Malaysia.
“Disebabkan itu kami berpindah ke Kuala Lumpur. Saya sebenarnya menghabiskan masa kanak-kanak membesar di Kem Sungai Besi, Jalan Penunggu, Kuala Lumpur,” ceritanya.
Rahim berkata, ketika zaman kanak-kanak, dia seorang yang berani dan sanggup melakukan aktiviti berbahaya sebagai hobi.
“Anak-anak askar ini berani. Mandi lombong menjadi kebiasaan, sampaikan dikejar polis kerana berkali-kali diingatkan. Chef selebriti, cef Wan antara rakan artis yang membesar dengan saya di Kem Sungai Besi,” katanya lagi.
Minat terhadap dunia drama bermula ketika Rahim menyertai aktiviti sekolah yang mana beliau aktif menyertai kelab drama.
“Di sekolah pula saya aktif menyertai kelab drama. Kemudian saya juga sertai teater anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Kemudian minat itu terpaksa ditangguhkan kerana selepas itu saya mengikuti ayah yang berpindah ke Kuantan, Pahang,” kongsinya.

MENGURUSKAN SYARIKAT SENDIRI
Rahim melanjutkan pelajaran ke sekolah vokasional, sekali gus menceburi bidang teknikal ketika berusia 20-an.
Malah, beliau telah membuka sebuah syarikat dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pendingin hawa untuk agensi dan syarikat korporat.
“Pada 1985, saya dianugerahkan kontrak untuk membaiki dan menyelenggara pendingin hawa di Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Zoo Negara. Dari situ saya mengintai peluang hadir uji bakat untuk menjadi pelakon,” kongsinya.
Minat terhadap dunia lakonan kembali hidup apabila beliau ditawarkan menjadi pelakon utama telefilem Mat Desa yang merupakan percubaan pertama dalam bidang itu pada tahun 1993.
“Kebetulan waktu itu diadakan pencarian pelakon utama telefilem Mat Desa, tak sangka, berbekalkan ilmu persilatan Gayong, saya terpilih untuk menjadi pelakon utama berpasangan dengan Ruzaidi Abdul Rahman. Saya sedikit kekok sewaktu penggambaran kerana digandingkan bersama jaguh silat antarabangsa. Ilmu persilatan beliau amat dahsyat, banyak perkara yang saya pelajari daripada beliau.
“Ruzaidi pula suka berkongsi mengenai silat. Dalam perjalanan menuju ke lokasi penggambaran, beliau banyak berkongsi mengenai ilmu persilatan. Bagaimanapun kami berkawan baik sampai sekarang,” ujarnya.

Hati Rahim mula terpaut terhadap bidang lakonan kerana ketiadaan tekanan selain menjadi minat yang bercambah sejak kanak-kanak lagi.
“Saya mula bertemu dengan minat sebenar. Sebelum itu saya agak tertekan menjalankan perniagaan kerana kelewatan bayaran hasil penyelenggaraan pendingin hawa, sekali gus mengakibatkan gaji pekerja juga menjadi lambat.
“Adakalanya saya terpaksa meminjam rakan-rakan untuk menjelaskan bayaran gaji pekerja. Jadi, saya tidak ada pilihan selain menutup syarikat membaiki pendingin hawa pada 2004 dan terus melompat ke dalam bidang lakonan.
“Saya minat berlakon, bila ada yang mengatakan bidang ini memberi tekanan, saya tidak merasakan perkara itu,” kongsinya.

JAMAL ABDILLAH
Ditanya mengenai penyanyi idola, Rahim memaklumkam Datuk Jamal Abdillah merupakan individu yang banyak mempengaruhi penglibatannya dalam dunia nyanyian. Malah, beliau dikatakan mempunya suara yang hampir mirip dengan Jamal apabila melantunkan lagu nyanyian penyanyi berkenaan.
“Saya memang peminat tegar. Malah, saya ketika memandu, akan putarkan semua lagu beliau sebagai hiburan.
“Lagu Jamal kegemaran saya adalah Penghujung Rindu dan Kekasih Awal dan Akhir. Malah lagu-lagu lama seperti Keluhan Perantau, Derita Cinta juga menjadi lagu kegemaran ketika zaman remaja,” katanya.
Kata Rahim, lagu Jamal Cinta Hanya Bayang-Bayang menjadi lagu yang menceritakan pengalaman silamnya ketika berpisah dengan kekasih ketika usia muda.
“Saya bercinta ketika zaman remaja dahulu. Namun hubungan kami terputus di tengah jalan kerana dia mahukan lelaki yang lebih stabil masa depannya. Maklumlah ketika itu saya bekerja di bahagian teknikal.
“Agaknya dia mahukan lelaki bergaya yang berpakaian kemas, malu kepada rakan-rakannya apabila cara berpakaian saya yang agak selekeh.
“Hubungan kami berpanjangan selama tiga tahun. Ketika putus, kebetulan lagu Rindu Bayangan nyanyian Carefree sedang popular dan menjadi lagu yang saya tujukan kepadanya ketika hubungan kami berakhir,” katanya lagi.
AMALAN MINUM AIR SUAM
Rahim bersyukur kerana dikurniakan kesihatan dan kemampuan untuk terus melakukan perkara yang diminatinya sehingga ke hari ini.
Baginya, kesihatan yang diberikan adalah satu amanah yang perlu dijaga sebaiknya.
“Alhamdulillah setakat ini saya tidak mengalami penyakit kritikal. Malah saya sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan.
“Mungkin kerana hidup saya sentiasa positif. Saya tidak suka hidup dalam tekanan. Dan saya tidak suka menyimpan dendam dengan orang lain.
“Dan lagi satu saya amalkan petua orang lama iaitu minum air suam setiap pagi dan suplemen tambahan untuk orang berusia macam saya,” katanya.










