Mahkamah tentukan sama ada laporan polis boleh didedah kepada umum - Utusan Malaysia

Mahkamah tentukan sama ada laporan polis boleh didedah kepada umum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 24 Julai – Persoalan sama ada pelakon, Zahida Mohamed Rafik wajar atau tidak mendedahkan kepada umum kandungan laporan polis yang dibuat terhadap bekas pemandu peribadinya berhubung dakwaan kehilangan wang RM200,000 akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

ZAHIDA MOHAMED RAFIQ yang memakai niqab hadir bagi mendengar rayuan bekas pemandunya, Noor Azman Azemi berhubung kes saman fitnah antara mereka di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini. – UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI.

Isu tersebut juga menjurus kepada persoalan adakah Zahida dilindungi atau layak diberi perlindungan bersyarat di bawah undang-undang ketika membuat pendedahan tersebut kepada umum.

Itu antara persoalan undang-undang yang dihujahkan oleh peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Noor Azman Azemi selaku pihak perayu.

Sri Ram berkata, Zahida yang dinamakan sebagai pihak responden pada 29 Februari 2012 telah membuat laporan polis berhubung kehilangan wang tunai RM200,000 yang didakwa telah dilarikan oleh Noor Azman.

Zahida yang hadir ke mahkamah hari ini dengan memakai niqab serba hitam mendakwa, pihak media telah menghampirinya dan memaklumkan kepada mereka yang dia telah membuat laporan polis terhadap Noor Azman.

Lelaki itu mendakwa, pada 3 Mac tahun sama, akhbar Harian Metro menyiarkan artikel bertajuk, Zahidah Rafik Terkedu yang didakwa memfitnahnya.

Noor Azman pada 27 November 2013 telah memfailkan saman fitnah terhadap Zahida dan telah menggunakan keistimewaan perlindungan bersyarat dan kewajaran dalam pernyataan pembelaannya.

Mahkamah Tinggi pada 26 Februari 2015 membenarkan saman fitnah Noor Azman dan menolak tuntutan balas Zahida bagi menuntut jumlah yang sama daripada bekas pemandunya itu.

Pelakon terbabit kemudian mengemukakan rayuan dan pada 16 Mei tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selain menolak tuntutan Noor Azman dan membenarkan tuntutan balas Zahida.

Sri Ram dalam hujahnya berkata, keistimewaan mutlak telah diperluaskan untuk melindungi pernyataan yang terkandung dalam laporan polis bagi menggalakkan suatu kejadian jenayah dilaporkan kepada pihak polis.

“Oleh itu tiada sebarang alasan mengapa orang yang membuat laporan polis bebas untuk mendedahkan kandungan laporan dan tidak dipertanggungjawabkan kerana memfitnah ekoran menerbitkan kandungan laporan kepada umum.

“Kenyataan fitnah dan pengulangannya bukanlah suatu keistimewaan mutlak dan bukan juga suatu yang wajar,” ujar Sri Ram.

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Zahida memohon supaya rayuan pihak perayu tidak dilayan atas alasan antaranya tuntutan saman fitnah Noor Azman tidak dapat dipertahankan dan rayuan tersebut suatu yang bersifat akademik semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN