KUALA LUMPUR 30 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk menarik balik kes samannya terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee berhubung video mengenai Rang Undang-undang Persendirian (RUU) 355.
Hakim Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas menggunakan budi bicara beliau setelah mempertimbangkan permohonan penarikan balik oleh Najib itu tidak menimbulkan sebarang prejudis terhadap Tony.
Perintah penarikan balik saman itu diberikan tanpa kebebasan untuk Najib memfailkan permohonan baharu.
Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu dengan kos RM30,000 untuk dibayar oleh Najib dalam masa dua minggu.
Najib diwakili peguam Norhazira Abu Haiyan manakala Tony diwakili peguam Tan Cheng Leong.
Najib memfailkan saman tersebut pada 21 April 2017 atas kapasiti peribadi beliau berhubung video dalam akaun Facebook ahli politik DAP itu pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada 6 April tahun lalu.
Pihak plaintif dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, Tony pada 6 April tahun lalu, dengan niat jahat telah memuat naik rakaman Live Video berdurasi dua minit 21 saat yang membawa maksud biasa atau kesimpulan secara sindiran beliau telah menyalahgunakan kuasanya.
Iaitu dengan cara memberi arahan kepada Yang di Pertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada Ahli Parlimen Marang untuk mengusulkan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) dan mengetepikan rang undang-undang lain.
Perkataan itu selain itu membawa maksud, pihak plaintif telah berkonspirasi dengan Pas untuk memecah undi Melayu dalam kalangan parti pembangkang dan kononnya telah merompak wang rakyat berkaitan urus niaga 1Malaysia Development Bhd. (1MBD) sehingga merosakkan reputasi beliau.
Pihak plaintif, sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan untuk ditaksirkan oleh mahkamah selain permohonan maaf secara bertulis dalam dua akhbar utama dan perintah injunksi. – UTUSAN ONLINE










