KUALA LUMPUR 24 Julai – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menafikan memaksa AirAsia Group Bhd. berpindah dari Terminal 2 (T2) ke Terminal 1 (T1) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah tiga tahun lalu.
![]() |
|
RAJA AZMI RAJA NAZUDDIN
|
Menurut MAHB, T2 sebenarnya berfungsi sebagai terminal sementara bagi memenuhi permintaan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) sebelum kemudahan yang lebih besar dan lebih baik iaitu di T1 selesai dibina sepenuhnya.
“Setelah siap pada 2010, semua LCC telah berpindah ke T1 kecuali AirAsia yang hanya berpindah pada Disember 2015 disebabkan keperluan kapasiti dan pertumbuhan mereka sendiri,” jelas MAHB dalam kenyataan di sini, semalam.
Ia sebagai menjawab kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes minggu lalu selepas bertemu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa syarikat penerbangan tambang murah itu dipaksa berpindah.
Sebelum ini, AirAsia mengumumkan sanggup melabur RM20 juta untuk menaik taraf T2 KKIA sekiranya dibenarkan kembali beroperasi di situ, selari dengan rancangan AirAsia X membuka pelbagai laluan baharu dari Kota Kinabalu.
Dalam satu lagi kenyataan hari ini, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, setiap infrastruktur lapangan terbang baharu harus melengkapi kepelbagaian model perniagaan syarikat penerbangan.
“Infrastruktur baharu harus kekal dalam reka bentuk dan keupayaan yang memenuhi pertumbuhan jangka panjang dan pihak berkepentingan seperti KLIA2 yang mengambil kira semua titik penting ini pada tahap makro,” ujar beliau.
Menurut Raja Azmi, kumpulan itu memainkan peranan penting dalam mengembangkan pengembaraan kos rendah yang berkembang pesat di Asia dan Malaysia sehingga kini masing-masing mewakili 25 peratus dan 50 peratus penerbangan.
Katanya, ketika potensi pengembaraan kos rendah masih tidak menentu, MAHB mengambil langkah berani dengan melabur hampir RM360 juta untuk membina terminal kos rendah pertama Asia Tenggara pada 2006 hingga pembukaan KLIA2.
“Walaupun AirAsia menjadi pemacu utama pertumbuhan ini, kerajaan bersama MAHB berperanan penting untuk membolehkan dan menyokong sepenuhnya pengembangan pengembaraan kos rendah bagi kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.
Raja Azmi berkata, ia dapat dilihat dengan pembangunan KLIA2 yang tidak hanya mengambil kira model syarikat penerbangan tambang rendah, tetapi semua jangkaan cabaran yang mungkin berlaku dalam dekad yang akan datang.
“Klia2 bersama KLIA merupakan komponen penting dalam ekosistem lapangan terbang bagi merealisasikan wawasan negara menjadi hab global pilihan dan memberi gambaran Malaysia sebagai sebuah negara moden dan maju,” kata beliau.











