SHAH ALAM 17 Julai – Trend penipuan Macau Scam di negeri ini semakin membimbangkan apabila mencatatkan kerugian mencecah RM16 juta sehingga Jun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, berbanding 2017, jumlah kerugian dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Disember adalah RM6.6 juta.
“Ini menunjukkan peningkatan peratusan kerugian mencatat sehingga 149 peratus. Peningkatan ini melibatkan modus operandi sebagai anggota polis dan kad kredit.
“Kita ingin menasihatkan supaya masyarakat jangan mudah panik dan terpedaya jika menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali. Jika khuatir, segera tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat pengesahan,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas ditemui di Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Menara 2 di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE










