MAB sediakan 149 penerbangan umrah - Utusan Malaysia

MAB sediakan 149 penerbangan umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Malaysia Airlines Berhad (MAB) akan menyediakan 149 penerbangan sewa khas dengan membawa le­bih 70,000 jemaah selepas memeterai perjanjian sewa khas umrah.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail berkata, penerbangan itu dijadualkan berlepas ke Madinah dan Jeddah mulai 31 Oktober 2018 hingga 9 Jun 2019.

Katanya, perjanjian itu melibatkan empat syarikat pengendali umrah yang membentuk gabu­ngan empat syarikat dikenali sebagai Gabungan 4 KAER.

“Syarikat tersebut ialah KRS Travel Sdn. Bhd., ATS Global Travel & Charterer Sdn. Bhd., Eco Riths Leisure Travel & Tour Sdn. Bhd. dan Rayhar Travels Sdn. Bhd.

“Perjanjian ini adalah yang terbesar dari segi jumlah penum­pang yang dibawa untuk perkhid­matan sewa khas umrah sekali gus memperkukuhkan lagi status kami sebagai syarikat penerba­ngan pilihan untuk sektor perkhidmatan umrah,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian sewa khas sesi 2018-2019 dengan Gabungan 4 KAER di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar; Ketua Pegawai Eksekutif KRS Travel Sdn. Bhd., Mohamed Ssunaibari; Ketua Pegawai Eksekutif ATS Global & Charterer Sdn. Bhd., Azizie Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Eco Riths Leisure Travel & Tour Sdn. Bhd., Datuk Rithsman Mohanmed; Pengarah Eksekutif Rayhar Travels Sdn. Bhd., Zakaria Ahammu dan ahli pengurusan kanan projek Amal, Hazman Hilmi Sallahuddin.

Perjanjian sewa khas itu akan menggunakan pesawat A380.

Sementara itu, Mohamed berkata, menerusi perjanjian itu, tiket penerbangan juga boleh dikongsi dengan rakan-rakan pengendali syarikat umrah di Malaysia dan Indonesia.

“Kami menghargai komitmen dan kepercayaan MAB yang membenarkan Gabungan 4 KAER menggunakan pesawat khas de­ngan kapasiti 484 tempat duduk.

“Perjanjian ini merupakan kesinambungan kerjasama sedia terjalin antara empat syarikat ini dan MAB bermula sejak 2012,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN