PUTRAJAYA 27 Julai – Kerajaan akan meneruskan kajian dan menggubal perundangan yang selaras dengan hasrat pembangunan negara ke arah pengurusan dan pentadbiran tanah yang lebih efisien.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara yang diutamakan adalah memperkenalkan spatium atau konsep pelupusan ruang udara supaya hak milik ruang udara itu dapat dikeluarkan bagi tujuan pembangunan bandar.
“Masih banyak lagi cabang pentadbiran tanah yang boleh diteroka untuk menambah baik perkhidmatan pentadbiran tanah.
“Oleh itu semua pihak hendaklah meneruskan kajian dan menggubal perundangan berkaitan pentadbiran tanah,” katanya.
Beliau berucap pada sambutan Hari Tanah Negara ‘Meneroka Peluang Baharu Pembandaran Negara’ 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa. -UTUSAN ONLINE










