SAYA terpanggil untuk mengulas kisah ‘lompat katak’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang baru-baru ini keluar dari UMNO sebelum cuba menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Malangnya, permohonan beliau ditolak PPBM, sebelum mencuba nasib menyertai PKR pula. PKR juga dilaporkan menolak permohonan Ismail dan kini nasibnya masih menjadi tanda tanya.
Walaupun beliau adik kepada bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, saya merasakan UMNO tidak akan menerimanya kembali dan pilihan yang tinggal cuma menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) atau wakil rakyat bebas.
Barangkali mandat kali ini adalah yang terakhir buat Ismail kecuali jika beliau ada taktik untuk mengekalkan undi atau ada campur tangan daripada ahli politik tertentu.
Apa yang ingin saya tegaskan di sini adalah sikap ‘lompat katak’ ini patut dihentikan malah sepatutnya sudah lama ada satu peruntukan undang-undang menghalang tindakan keji ini.
Jika melompat parti, sepatutnya wakil rakyat itu melepaskan kerusi yang dipegang dan biarkan pilihan raya kecil diadakan. Jika cukup hebat, bertanding sebagai calon bebas.
Pastikan seseorang itu hanya boleh menetapkan mahu menjadi calon sesebuah parti atau calon bebas sebelum pilihan raya berjalan dan sekiranya keluar parti atau dipecat maka mereka perlu melepaskan kerusi disandang. Hanya calon bebas yang menang boleh dibenarkan menyertai parti tertentu selepas pilihan raya.
Sudah terang lagi jelas tiada siapa termasuk parti dan pengundi akan percayakan mana-mana ahli politik ‘kaki lompat’ untuk diberikan peluang kedua maka lebih elok kiranya ada peruntukan undang-undang mencegah perbuatan itu dari arena politik Malaysia.
PENGUNDI BN
Perlis










