Lokman yakin menang - Utusan Malaysia

Lokman yakin menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 24 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam hanya memerlukan 17 peratus undi PKR untuk menang dalam pilihan raya kecil kali ini.

Lokman berkata, berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihaknya menunjukkan beliau dijangka memperoleh semua undi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, selain dapat menarik undi Pas sebanyak 80 peratus.

Menurutnya, jumlah itu belum termasuk undi ahli UMNO yang sebelum ini mengundi PKR atau tidak turun mengundi atas faktor sabotaj.

“Kita yakin akan dapatkan undi daripada BN semuanya tapi kita juga perlukan undi daripada Pas dan kita jangkakan akan dapat 80 peratus undi Pas. Namun, kalau kepemimpinan Pas turun, mungkin akan dapat lebih.

“Sebab itu kita berharap dapat undi daripada pengundi PKR sebanyak 17 peratus dan kalau itu berlaku saya akan menang tipis dengan 135 undi,” katanya kepada pemberita semasa berkempen di Jalan Kebun, di sini hari ini.

Mengulas tentang kenyataan calon PKR, Zawawi Mohd. Mughni yang tidak goyang kalau BN dan Pas bekerjasama kerana yakin menerima lebih 7,000 undi Pas pada PRU-14 lalu, Lokman hanya menyerahkannya kepada penyokong Pas.

“Namun, saya rasa orang Pas lebih tahu di bawah pemerintahan Pakatan Harapan berlaku banyak perkara berkaitan institusi Islam termasuk dalam isu membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sekolah tahfiz.

“Saya rasa orang Pas lebih bijak dan sedar bagaimana kepentingan Islam diuruskan pakatan dan dia (Zawawi) berhak untuk yakin tetapi orang Pas berpegang pada Islam, jadi Islam kena tentang benda yang batil,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN