KLANG – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengeluarkan arahan supaya menurunkan kain rentangnya yang disifatkan berbentuk provokasi.
Beliau berkata, arahan tersebut dianggap tidak relevan dan memberikan tekanan kepada kempen BN selepas akaun mereka telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Katanya, SPR menyatakan bahawa kain rentang tersebut perlu diturunkan kerana akan menimbulkan perasaan tidak berpuas hati kepada pihak lain.
“Justeru, apa yang tidak selesa sekiranya kain rentang itu tertera Undi BN Jika Mahu Pakatan Harapan Tunai janji memandangkan ia perkara yang betul.
“Ini juga dilakukan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) apabila mereka membawa kain rentang kempen dengan Jika Mahu GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dihapuskan undi PH.
“Adakah kita meminta mereka (PH) menurukan kain rentang itu, langsung tiada sebab mereka mempunyai hak sama seperti kami,” katanya ketika ditemui dalam program ziarah kasih dan edaran risalah BN di Taman Setia di sini hari ini.
Beliau menambah, perkara yang diperjuangkan dalam kain rentang tersebut merupakan fakta sebenar dan tidak mempunyai sebarang unsur fitnah yang boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Ujarnya, beliau menggunakan pendekatan itu semata-semata bagi mendesak PH menjalankan tanggungjawab menunaikan janji-janji mereka dalam PRU-14 lalu.
“Saya pelik mengapa PH merasa kurang selesa. Sewaktu mereka membuat janji tidak terfikir pula implikasi kewangannya daripada manifesto mereka,” jelasnya. – K! ONLINE










