LONDON 19 Julai – Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menyifatkan jika Alex Oxlade-Chamberlain dapat kembali pulih sebelum tamatnya musim baharu, itu merupakan satu bonus buat pasukannya.
Oxlade-Chamberlain mengalami kecederaan teruk di bahagian ligamen lutut ketika beraksi dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang AS Roma di Anfiel pada 24 April lalu. Pemain berusia 24 tahun itu menjalani pembedahan lapan hari kemudian.
“Kami sudah sedia maklum dia tidak akan bersama kami pada musim ini untuk sebahagian besar perlawanan kompetitif dan kami bersedia untuk menghadapinya bagaimanapun jika dia dapat kembali beraksi sebelum musim baharu ini tamat ia akan menjadi bonus.
“Saya fikir ini adalah masa yang sesuai untuk memberitahu bahawa Ox akan fokus kepada proses rawatan dan pemulihan.
“Kami sudah tahu mengenai perkara ini selepas beberapa hari dia mengalami kecederaan itu dan setelah dia menjalani pembedahan,” kata Klopp.
Bekas pemain Arsenal itu menjaringkan lima gol serta melakukan lapan gerakan gol sepanjang penampilannya bersama The Reds sebelum dia mengalami kecederaan yang menyaksikan dia tersingkir daripada skuad Piala Dunia England.
Pemain tengah itu juga terlepas beraksi dalam aksi Piala Dunia empat tahun lalu serta Kejohanan Eropah (Euro) pada 2016 akibat kecederaan dan Klopp berkata dia tidak mahu Oxlade-Chamberlain kembali beraksi dalam keadaan tergesa-gesa.
“Penting untuk kami memastikan dia kembali pulih dan fokus kami adalah memantau dia melakukan perkara yang betul.
“Saya tidak sabar untuk menyambut kepulangannya namun kami akan tunggu dengan sabar sehingga dia benar-benar bersedia untuk beraksi kerana dia salah pemain menakjubkan di pentas kejuaraan Eropah pada musim lalu,” katanya lagi. – REUTERS









