LONDON – Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp berharap pasukannya akan menjadi pencabar utama kepada kejuaraan Liga Perdana England (EPL) musim depan selepas beliau berjaya mengikat kontrak beberapa pemain yang bakal memperkemaskan lagi skuad The Reds.
Klopp telah berjaya mendapatkan Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri, bahkan Liverpool sudah bersetuju untuk membayar yuran bernilai £66.8 juta (RM353 juta) untuk menandatangani pemain AS Roma, Alisson, sekali gus menjadi yuran perpindahan rekod dunia untuk seorang penjaga gol.
Pada masa sama, spekulasi berkenaan masa depan Mohamed Salah dan Roberto Firmino juga selesai berikutan dua tonggak utama tersebut sudah memperbaharui kontrak untuk terus kekal beraksi di Anfield.
Klopp sangat teruja untuk melihat aksi pertama mereka musim depan yang dijadualkan bertemu West Ham pada 12 Ogos setelah beliau mendapatkan ramai pemain ternama dan tidak kehilangan tonggak utama sedia ada.
“Saya tidak pasti 100 peratus, namun ini merupakan tahun pertama Liverpool tidak menjual pemain-pemain tonggak utama.
“Ia merupakan perubahan yang sangat besar buat pasukan dan sa- ngat jelas kami mampu menjadi sebuah pasukan hebat dan mampu memberikan saingan sengit kepada kejuaraan EPL.
“Jika kami tidak mendapatkan pemain baharu, pasukan terpaksa membangunkan bakat pemain-pemain sedia ada.
“Berdasarkan apa yang kami ada sekarang, ia bermaksud semua pemain perlu bersatu untuk melangkah lebih jauh bagi saingan musim depan,” kata Klopp. – Agensi










