SEPANG – Sekumpulan lima pendaki Malaysia meluahkan rasa syukur apabila terselamat dalam kejadian gempa bumi yang melanda Lombok, Indonesia kelmarin.
Kata-kata itu diucapkan mereka sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Kedua (KLIA2) pada pukul 1.33 petang semalam.
Mereka merupakan kumpulan pertama rakyat Malaysia yang tiba menerusi penerbangan AirAsia AK305.
Menceritakan semula kejadian itu, salah seorang pendaki, Siti Hidayah Zainuddin, 38, berkata, kumpulan mereka yang terdiri daripada 20 orang sepatutnya mula mendaki pada pukul 7 pagi.
“Bagaimanapun kami tidak sempat kerana gempa bumi berlaku secara tiba-tiba tiga minit sebelum waktu pendakian itu.
“Ketika itu sedang bersiap-siap selepas bersarapan. Suasana bertambah panik apabila tanah di kawasan itu mula merekah,” katanya ketika ditemui di KLIA2 di sini semalam.










