Lima pendaki negara tawan puncak Carstensz Pyramid - Utusan Malaysia

Lima pendaki negara tawan puncak Carstensz Pyramid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Julai – Lima pendaki negara daripada Kelab Jelajah Alpine – Malaysia (KJA-M) berjaya menawan puncak Gunung Carstensz Pyramid di Wilayah Papua, Indonesia sempena misi Climb for Peace baru-baru ini.

Mereka ialah Zainudin Lot, 42; Muhammad Illaham Ishak, 42; Ayob Yahaya, 55; Dr. Zambri Jamingan, 50, dan Dr. Mohazmi Mohamed, 50.

Gunung Carstensz Pyramid yang berketinggian 4,884 meter dari aras laut merupakan gunung tertinggi di Indonesia serta benua Oceania atau Australasia.

Dikenali sebagai Puncak Jaya dalam kalangan penduduk tempatan, gunung tersebut tersenarai sebagai salah satu daripada tujuh puncak tertinggi di tujuh benua (Seven Summits – Messner List) yang menjadi buruan pendaki-pendaki profesional di seluruh dunia.

Menurut Muhammad Illaham yang juga Presiden KJA-M, kesemua peserta tiba di puncak pada 30 Jun lalu antara pukul 9.30 pagi dan 12.30 tengah hari selepas mengharungi pendakian penuh mencabar selama kira-kira lapan jam dari kem induk Yellow Valley.

“Pendakian ke puncak memerlukan kemahiran teknikal kerana terpaksa mendaki permukaan 90 darjah menegak dan melintasi tiga gaung yang merbahaya.

“Alhamdulillah walaupun ada antara kami mengalami sedikit masalah kesihatan seperti penyakit akut gunung (AMS), namun semangat juang yang tinggi telah membawa kami untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi di benua Oceania,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.

Kelima-lima pendaki kini berada di Timika, Papua dan dijangka tiba di tanah air esok.

Gunung Carstensz Pyramid merupakan misi keenam Muhammad Illaham dan Zainudin yang juga Penasihat KJA-M dalam menyempurnakan cabaran Seven Summits.

Kedua-dua pendaki profesional negara itu sebelum ini telah menawan Gunung Everest (Asia), Gunung Kilimanjaro (Afrika), Gunung Elbrus (Eropah), Gunung Kosciuszko (Australia) dan Gunung Aconcagua (Amerika Selatan). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN